Kesatuan Mahasiswa UKM bantah cawangan parti politik di kampus

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) menentang cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membenarkan cawangan parti politik diwujudkan di kampus.

Timbalan Speaker KMUKM, Ammar Syabil berkata, cadangan membenarkan parti politik dalam kampus akan menyebabkan institut terbabit menjadi gelanggang politik semata-mata dan hilang tujuan hakikinya iaitu tempat untuk menimba ilmu.

Katanya, cawangan-cawangan parti yang tubuhkan di kampus akan dijadikan pusat ahli politik mendoktrinasi mahasiswa seperti menerapkan budaya kronisme, fitnah-memfitnah dan tingkah laku fanatik sebagaimana dilakukan parti politik di luar.



“Ini merosakkan objektif pemerkasaan mahasiswa yang sihat dan matang,” katanya.

“Selain itu, penubuhan cawangan parti politik di kampus juga akan menenggelamkan pengaruh gerakan-gerakan mahasiswa yang sudah pun wujud dalam memupuk semangat dan amalan demokrasi mahasiswa.

“Amalan demokrasi seperti Pilihan Raya Kampus dan Parlimen Mahasiswa sudah cukup dalam memperkasakan pemikiran politik di peringkat universiti,” katanya.

Dalam pada itu, Ammar berkata, parti politik nasional tidak mempunyai pengaruh efektif dalam menyelesaikan isu-isu mahasiswa seperti kebajikan dan pentadbiran golongan terbabit.



“Parti-parti ini tiada sebarang tawaran dalam melegakan kesusahan yang menimpa mahasiswa kerana pemahaman mereka tentang perkara ini tidak komprehensif sebagaimana yang difahami oleh kesatuan, gerakan dan persatuan mahasiswa di universiti.

“Mahasiswa sudah pun mengamalkan politik yang matang melalui platform gerakan mahasiswa yang ada di universiti.

“Perbahasan dan perkongsian ilmu dilakukan melalui platform-platform ini bagi memperkasakan pemikiran politik matang dalam kalangan mahasiswa sepertimana yang dapat dilihat ketika kempen Pilihan Raya Kampus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata kementeriannya tidak menolak kemungkinan akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan di kampus universiti.



Beliau ketika menjawab soalan tambahan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, ia kerana pelbagai pindaan telah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.

Justeru, KMUKM mencadangan dua perkara kepada kerajaan untuk diperhatikan agar objektif pemerkasaan mahasiswa dapat dicapai.

“Antaranya, pihak KPT perlu mengadakan sesi TownHall bersama wakil-wakil Kesatuan Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) agar solusi yang lebih menyeluruh dapat dibincangkan.

“Selain itu, KPT juga harus menyediakan platform untuk parti politik nasional mahasiswa berkongsi ilmu dan dasar melalui forum, perbahasan dan bengkel.



“Perkara ini akan mengurangkan risiko dalam menggangu ketenteraman universiti,” katanya.

Ammar menegaskan, cadangan KPT untuk membenarkan cawangan parti dalam kampus tidak menyuburkan amalan demokrasi dalam kalangan mahasiswa sebaliknya merosakkan tingkah laku dan sifat politik matang mereka.

“Dengan harapan, pihak KPT mengambil maklum perkara ini dan cadangan untuk menubuhkan cawangan parti di kampus dapat dipertimbangkan semula,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button