Abot dan Rambai bantu pindah gajah liar

Kuantan: Gajah liar yang tersesat hingga ke belukar di belakang Taman Perumahan Pandan Damai, di sini, sejak lebih seminggu lalu berjaya dipindahkan, malam tadi.

Operasi pemindahan dilakukan 13 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) dibantu lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Jurucakapnya berkata, gajah liar dianggarkan berusia 40 tahun itu berjaya ditangkap anggota Unit Tangkapan Gajah PKGK Selasa lalu, sehari selepas kelibat haiwan itu dikesan di kawasan berkenaan.



“Dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai digunakan bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk melancarkan proses pemindahan.

“Gajah liar itu dihantar ke perkampungan Konservasi Gajah Kenyir, dekat Tasik Kenyir, Terengganu,” katanya.

Menurutnya, operasi memindahkan gajah itu dari kawasan hutan ke lori jabatan bermula sekitar jam 2 petang dan selesai sepenuhnya jam 6. 30 petang semalam.

“Kita hanya menghantar gajah terbabit ke Terengganu malam tadi kerana sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP), kenderaan membawa haiwan seperti gajah liar hanya boleh bergerak pada waktu malam,” katanya.



Dalam kejadian petang Isnin lalu, penduduk Taman Perumahan Pandan Damai, cemas apabila menyedari kehadiran gajah liar dipercayai tersesat dalam kawasan hutan berhampiran.

Gajah jantan itu dipercayai tersesat dari Bukit Goh dan menjadikan Hutan Simpan Cerul, sebagai kawasan habitat semulajadi.

Difahamkan haiwan itu menyusur sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sebelum dikesan dalam hutan kecil dekat taman perumahan berkenaan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button