Trossard kunci kemenangan Arsenal
London: Leandro Trossard menjadi inspirasi kepada Arsenal selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menjarakkan lima mata dengan pencabarnya.
Jika Arsenal berjaya menjulang trofi EPL buat kali pertama sejak 2004, pelaburan sebanyak £21 juta (RM114 juta) menandatangani Trossard bakal membuktikan salah satu pembelian berbaloi musim ini.
Trossard sudah kelihatan seperti satu pembelian bijak oleh bos Arsenal, Mikel Arteta selepas tiga hantarannya memberi inspirasi kepada kemenangan 3-0 ke atas Fulham.
Arsenal hanya mendapatkan penyerang Belgium itu selepas tawaran mereka untuk mendapatkan pemain Shakhtar Donetsk, Mykhailo Mudryk dirampas Chelsea pada saat akhir.
Ketika Mudryk masih menyesuaikan diri dengan EPL, Trossard membuktikan kemampuannya di Arsenal selepas empat tahun berpengalaman dalam liga England ketika bersama Brighton.
Kreativiti dan kecerdasan dipamerkan pemain berusia 28 tahun itu membuka jalan kepada The Gunners untuk mencatat kemenangan liga kelima berturut-turut dan membawa mereka lebih dekat dengan kejuaraan.
Dengan baki 11 perlawanan lagi, Arsenal mempunyai kelebihan lima mata berbanding Manchester City di tempat kedua dan Trossard gembira memainkan peranannya.
“Kemenangan sempurna buat kami. Saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Saya sentiasa akan cuba memberi sumbangan. Hari ini saya berjaya melakukannya.
“Sama seperti minggu lalu. Kami mempunyai 11 lagi aksi terakhir. Kami akan mengharunginya satu demi satu perlawanan. Hari ini kami mempersembahkan permainan mantap,” katanya.
AFP