City kenduri gol belasah Leipzig

MANCHESTER, United Kingdom: Erling Haaland menyamai rekod Liga Juara-Juara dengan lima gol ketika Manchester City mara ke suku akhir selepas membelasah RB Leipzig 7-0 seterusnya mengesahkan kemenangan agregat 8-1 buat juara England itu sebentar tadi.

Haaland juga mencipta rekod kelab yang baharu dalam semusim dengan 39 gol ketika skuad kendalian Pep Guardiola mara ke kelompok lapan terbaik buat kali keenam berturut-turut.

“Kekuatan utama saya ialah menjaringkan gol,” kata Haaland. “Banyak daripadanya berlaku dengan pantas di minda dan saya cuba meletakkannya di tempat tidak ada penjaga gol.”



City masih belum sampai ke tahap terakhir Liga Juara-Juara tetapi mereka tidak pernah ada penyerang dengan kualiti seperti Haaland bagi memberikan perbezaan pada tahap seterusnya.

Pada usia hanya 22 tahun, dia kini sudah mengumpul 33 gol dalam 25 penampilan di kejohanan elit Eropah itu.

“Pertama sekali saya bangga beraksi dalam kejohanan ini, saya menyukainya,” kata Haaland. “Lima gol! Menang 7-0 ialah sesuatu yang menakjubkan.”



Cuaca agak serupa dengan tempat asal Haaland pada malam bersalji di Manchester, tetapi City tidak kesejukan di bawah tekanan dan meneruskan usaha mereka dalam Liga Juara-Juara.

Pertembungan itu agak seimbang selepas keputusan seri 1-1 di barat Jerman tiga minggu lalu tetapi Leipzig lesu selepas ramai pemain dilanda kecederaan dan tiada tandingan berdepan lawan dipenuhi bintang itu.

Guardiola meletakkan Kevin De Bruyne di bangku simpanan buat pasukan mendapat sokongan Abu Dhabi itu ketika City menang 1-0 di Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu dan kembali dalam kesebelasan utama dengan persembahan terbaiknya.

Ilkay Gundogan sepatutnya mampu membuka jaringan selepas hanya tiga minit hasil hantaran lintang De Bruyne.



Haaland meledak rendah melepasi penjaga gol, Janis Blaswich hasil sepakan penalti apabila bola terkena tangan Benjamin Henrichs bagi mengekalkan rekod sempurnanya dengan enam gol buat City musim ini.

Dua minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 apabila Haaland mengumpan buat De Bruyne, namun sepakan pemain itu terkena palang sebelum disambar Haaland.

Ruben Dias kemudian melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Jack Grealish ke penjuru gawang.

Gundogan menyudahkan hantaran ke penjuru empat minit bermula babak kedua yang menambah luka Leipzig sebelum Haaland mula mengubah buku rekod.



Dia meledak gol selepas Blaswich menepis tandukan pertamanya bagi menyamai rekod Tommy Johnson dengan 38 gol buat City pada musim 1928-29.

Haaland kemudian memperbaharuinya apabila menyambar bola yang membias selepas Blaswich menepis cubaan Manuel Akanji.

Dalam proses itu dia menyamai catatan Lionel Messi dan Luiz Adriano dengan lima gol dalam satu aksi Liga Juara-Juara.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button