Pemain ragbi ditemukan mati selepas setahun hilang

Washington: Misteri kehilangan pemain liga ragbi, Bryn Hargreaves, sejak setahun lalu terungkai selepas mayatnya ditemukan tidak jauh dari rumahnya di Virginia Barat, lapor Metro UK.

Bryn, 36, yang juga bekas pemain St Helens itu dilaporkan hilang selepas tidak hadir bekerja pada 3 Januari tahun lalu.

Punca kematian lelaki itu masih belum diketahui.



Penemuan mayat Bryn itu disahkan oleh abangnya Gareth menerusi hantaran yang menyayat hati di media sosial Facebook.

“RIP Bryn Hargreaves. Dukacita saya mengesahkan selepas 14 bulan kami akhirnya menemui Bryn.

“Kami masih tidak tahu punca kematian atau apa yang sebenarnya berlaku. Terima kasih kepada semua membantu dalam pencarian,” tulisnya.



Penghormatan terakhir turut dizahirkan ibunya, Maria Andrews selepas setahun mencari dan menerusi hantaran di media sosial memberitahu sukar untuk berkongsi berita itu kerana patah hati.

“Anakku Bryn. Saya tidak dapat menggambarkan kesakitan.” tulisnya.

Bryn bermain dalam Liga Super untuk Wigan, St Helens dan Bradford sebelum berpindah ke Amerika Syarikat, untuk bekerja dalam industri minyak dan gas.

Jurucakap Polis Daerah Monongalia berkata, Bryn dilaporkan hilang pada 16 Januari tahun lalu, selepas dua minggu tidak pulang ke rumah.



Katanya, pemeriksaan polis di rumah mangsa mendapati pintu tidak berkunci dan pancuran mandian masih terbuka, selain barangan peribadi termasuk telefon serta komputer riba masih berada di dalam rumah, mencetuskan kebimbangan dia diculik.

Terdahulu, Bryn bekerja dan tinggal di Pittsburgh bersama isterinya sebelum pasangan itu berpisah dan dia berpindah ke Virginia Barat.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button