Sepanyol atasi Norway, Wales ikat Croatia

PARIS: Sepanyol menang 3-0 ke atas Norway yang turun tanpa Erling Haaland pada aksi kelayakan Euro 2024, manakala Wales mengikat Croatia 1-1.

Dani Olmo menyempurnakan hantaran rendah Alejandro Balde pada minit ke-13 aksi di Malaga dan Joselu meledak dua kali pada penampilan sulungnya untuk memberikan kemenangan pertama buat pengendali baharu, Luis de la Fuente.

Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga menafikan percubaan Fredrik Aursnes dan satu lagi percubaan di atas garisan pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama untuk Sepanyol sejak Oktober 2020.



Penyerang Espanyol, Joselu masuk sebagai pemain gantian dan meledak dua gol pantas pada minit ke-84 dan 85 untuk mengesahkan kemenangan Sepanyol.

“Saya masih tidak mempercayainya. Bagi mana-mana pemain ini adalah perkara terbaik yang boleh berlaku. Ia adalah hasil latihan setiap hari,” kata Joselu, 32, yang menjadi pemain Sepanyol pertama meledak dua gol pada penampilan sulung selepas Fernando Morientes pada tahun 1998.

Juara tiga kali Eropah itu akan bertandang ke Scotland, yang menewaskan Cyprus 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A selepas Scott McTominay meledak dua kali di Hampden Park.



Norway, yang tidak beraksi di kejohanan besar sejak Euro 2000, sekali lagi akan kehilangan khidmat penyerang Manchester City, Haaland menjelang kunjungan ke Georgia minggu depan akibat kecederaan pangkal paha.

Croatia, naib juara dan layak ke separuh akhir dalam dua edisi Piala Dunia lalu, dibolosi pada saat akhir untuk seri pada aksi pertama Kumpulan D.

Pemain baharu Wales, Nathan Broadhead menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan selepas Andrej Kramaric meletakkan Croatia di depan pada minit ke-28.



Wales turun tanpa penjaring terbanyak dan kapten mereka, Gareth Bale yang sudah bersara manakala Croatia menyaksikan Luka Modric mengumpul kap ke-163 untuk negaranya.

Croatia belum pernah tewas di laman sendiri dalam aksi kelayakan Kejuaraan Eropah – kini memasuki perlawanan ke-36 sejak tahun 1994.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button