Aura demi Malaysia untuk pelumba negara
Kuala Lumpur: Penaja pasukan RNF MotoGP Racing Team buat dua pelumba muda ZK Racing mahu semangat ‘demi Malaysia’ meresap dalam jiwa mereka bagi mengharungi musim Red Bull Rookies Cup musim 2023.
Seperti sedia maklum, pasukan yang bersaing dalam kelas MotoGP di Kejuaraan Motosikal Dunia itu dinaungi Datuk Razlan Razali iaitu seorang individu yang berpengalaman luas dalam kancah pentadbiran perlumbaan antarabangsa.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu berkata, beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kemampuan Danial Syahmi Ahmad Shahril dan Hakim Danish Ramli untuk menyerlah.
“Sebagai warga Malaysia dan pemilik pasukan MotoGP, saya sentiasa bersemangat untuk membantu anak tempatan. Selama 14 tahun, saya berada dalam misi untuk membantu membawa bakat Malaysia ke Kejuaraan Dunia.
“Kerjasama dengan ZK Racing bukanlah sekadar kami sebagai salah seorang penaja, tetapi sebagai komitmen peribadi saya kepada pelumba Malaysia. Saya yakin bahawa Hakim Danish dan Danial Syahmi mempunyai potensi untuk bersaing hingga ke MotoGP, dan pemilihan mereka untuk Redbull MotoGP Rookies Cup adalah bukti bakat luar biasa mereka.
“Sebagai satu-satunya ketua pasukan dari Asia Tenggara dalam MotoGP, saya berasa bangga untuk membantu Hakim dan Danial dan tidak sabar untuk melihat mereka bersinar di pentas dunia,” katanya.
Semalam ZK Racing dalam satu kenyataan memaklumkan penajaan berkenaan yang merangkumi perbelanjaan perjalanan dan perkhidmatan hospitaliti ketika beraksi di Eropah bagi musim ini.
Dalam pada itu, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin gembira dengan kolaborasi berkenaan sekali gus membantu barisan pelumba untuk lebih selesa apabila berada di perantauan.
“Dengan adanya pasukan Malaysia iaitu RNF MotoGP Team selaku penaja pelumba kita, ianya membuatkan pelumba tidak merasa janggal di dalam paddock dan berasa seperti di rumah sewaktu perlumbaan di Eropah.
“Penajaan ini sedikit sebanyak membantu pasukan ZK Racing selain dari mempunyai penaja utama program ini iaitu SIC Racing. Saya berharap pelumba kita dapat tunjukkan prestasi yang cemerlang pada musim ini di Red Bull MotoGP Rookies Cup,” katanya.
Saingan musim 2023 Red Bull Rookies Cup membuka tirainya di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal pada minggu ini iaitu lokasi sama untuk Grand Prix (GP) Portugal.
METRO