Buaya Sungai Melaka muncul kembali selepas sembilan bulan ghaib
Melaka: Hampir sembilan bulan ‘ghaib’, buaya tembaga sepanjang dua meter muncul kembali di persisiran Sungai Melaka di sini, sejak minggu lalu.
Kelibat dipercayai buaya sama pertama kali dirakam di kawasan pokok bakau pada Julai 2022 oleh penjaga tokong berhampiran pusat beli-belah di sini, namun ketika itu dikatakan saiznya masih kecil.
Terbaru tular video dan gambar buaya itu berjemur di dahan pokok bakau hingga menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai ancaman reptilia ganas itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, beliau meninjau lokasi itu minggu lalu, selepas dimaklumkan mengenai kemunculan buaya ketika cuaca panas antara jam 2 hingga 4 petang.
“Saya nampak buaya itu di persisiran The Shore. Jadi saya berharap pihak berkaitan dapat memasang papan tanda mengingatkan orang ramai yang bersiar-siar di pesisir Sungai Melaka supaya berhati-hati.
“Pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) juga diharap bertindak segera untuk menangkap buaya itu,” katanya dihubungi di sini.
Menurutnya, beliau difahamkan sejak pertengahan tahun lalu penduduk melihat buaya itu yang dipercayai bersarang di bawah jambatan kayu di pesisir sungai.
“Disebabkan kerja pembinaan jambatan kayu berdekatan kawasan Bunga Raya Pantai di sini, sarang buaya mungkin diganggu dan ia menghilang untuk sementara waktu.
“Namun, apabila pembangunan jambatan kayu dihentikan baru-baru ini, buaya itu muncul semula,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Mohd Firrdhaus Mahmood ketika dihubungi berkata, siasatan sedang dijalankan pegawainya susulan aduan terbaru itu.
Menurutnya, usaha menjejaki buaya terbabit termasuk memasang perangkap dilakukan sejak tahun lalu, namun tidak berhasil.
“Pihak kami juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka untuk melaporkan segera jika terserempak buaya di Sungai Melaka,” katanya.
METRO