Newcastle tambah kecewa Man United

London: Newcastle membalas dendam kekalahan final Piala Liga di tangan Manchester United apabila Joe Willock dan Callum Wilson menyumbat gol untuk meraih kemenangan 2-0, awal pagi tadi sekali gus menyaksikan Magpies melonjak di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad bimbingan Eddie Howe tewas 0-2 kepada United di Wembley lima minggu lalu dalam final pertama pertama mereka selama 24 tahun.

Namun Newcastle berpeluang menggantikan kekecewaan itu dengan cuba meraih tiket ke Liga Juara-Juara dan gol separuh masa kedua menerusi Willock dan Wilson di St James’ Park semakin menghampiri impian mereka itu.



Kemenangan liga ketiga berturut-turut Newcastle dan yang pertama menentang United sejak 2019, menyaksikan mereka mengatasi United di tempat keempat menerusi perbezaan gol.

“Kami kecewa gagal mendahului pada separuh masa pertama, tetapi saya rasa jika kami beraksi dengan cara yang sama, keputusan pasti berbeza pada masa akan datang. Syukurlah kami berjaya lakukannya.

“Jika anda bermain dengan baik, itu perkara yang paling penting. Ia memberi kami peluang besar untuk mencapai sesuatu yang istimewa musim ini. Jika kami dapat mengekalkan kedudukan kami, saya sangat gembira,” kata Howe.



United pula tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka, iaitu selepas dibelasah 0-7 oleh Liverpool dan kemudian terikat tanpa jaringan ketika bertemu Southampton sebelum tewas di Tyneside.

Anak buah Erik ten Hag pasti mahu berusaha untuk mencapai kedudukan empat teratas, sambil menyasarkan untuk mara ke separuh akhir Liga Europa dan final Piala FA.

“Saya tidak suka mengatakannya tetapi lawan lebih baik hari ini, terutamanya keazaman, semangat dan keinginan mereka. Mereka mahu menang lebih banyak dan mereka berjaya mencapainya.

“Ia persembahan yang masih tidak cukup baik baik. Kami memberi lawan terlalu banyak peluang. Anda perlu mempunyai keinginan tinggi dan memberikan segala-galanya pada setiap perlawanan,” kata Ten Hag.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button