China tuduh AS langgar amalan antarabangsa

China tuduh AS langgar amalan antarabangsa

China tuduh AS langgar amalan antarabangsa
BELON udara pengintip China yang ditembak jatuh di perairan Carolina Selatan, AS, kelmarin.

BEIJING: Kerajaan China mengecam keputusan Pentagon yang menembak jatuh belon pengintip mereka yang didakwa terbang di ruang udara Amerika Utara selain menuduh Amerika Syarikat (AS) bertindak keterlaluan dan serius melanggar amalan antarabangsa.

Kementerian Luar Beijing dalam satu kenyataan berkata, mereka sangat tidak berpuas hati dan membantah terhadap kekerasan yang diambil oleh AS untuk menye­rang kapal udara awam (belon) tanpa pemandu itu.

TIMBUL KETEGANGAN

Tambah kementerian itu, mereka juga memiliki hak untuk bertindak balas di atas perbuatan tersebut.

Belon itu dilaporkan berlegar-legar di ruang udara Amerika Utara sejak Selasa lalu yang me­ningkatkan ketegangan di antara Washington dan Beijing, sebelum ia ditembak jatuh oleh tembakan peluru berpandu dari jet pejuang F-22, kelmarin.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menyifatkan operasi itu sebagai tindakan yang sah sebagai tindak balas kepada pelanggaran kedaulatan negara yang tidak boleh diterima.

Austin menyifatkan belon itu digunakan oleh China dalam percubaan untuk mengawasi tapak strategik pertahanan di benua AS.

Jumaat lalu, Setiausaha Negara, Antony Blinken turut memba­talkan lawatan ke Beijing yang pada asalnya bertujuan untuk membendung ketegangan AS-China yang semakin meningkat.

Beijing bagaimanapun me­ngakui belon tersebut adalah hak milik mereka, tetapi mendakwa ia adalah hanya sebuah belon kaji cuaca awam.

Kementerian Luar China berkata, pihaknya dengan jelas meminta AS mengendalikan perkara itu dengan betul, cara yang tenang, profesional dan terkawal.

AS GUNA KEKERASAN

Malah, Beijing berkata, AS bagaimanapun berkeras untuk menggunakan jalan kekerasan, jelas bertindak balas berlebihan dan serius melanggar amalan antarabangsa.

Kelmarin, tentera AS menembak jatuh belon pengintip China ketika berada di luar pantai Carolina Selatan, seminggu selepas ia memasuki ruang udara negara itu.

Lapor Al Jazeera, belon ber­kenaan mencetuskan episod pengintipan dramatik yang secara tidak langsung memburukkan hubungan di antara Beijing dengan Washington.

Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau mengeluarkan arahan pada Rabu lalu supaya belon itu ditembak, tetapi Pentagon mengesyorkan supaya menunggu sehingga ia boleh dilakukan di kawasan terbuka bagi melindungi orang awam daripada terkena serpihan yang terhempas ke bumi.

“Kami berjaya menurunkannya dan saya ingin memuji para tentera udara kami yang me­lakukannya,” kata Biden kepada pemberita.

Kata seorang pegawai kanan tentera AS, beberapa pesawat pejuang terlibat dalam misi itu termasuk sebuah jet pejuang F-22 dari Pangkalan Tentera Udara Langley di Virginia yang menggunakan satu peluru berpandu supersonik, AIM-9X .

Sewaktu belon pengintip itu ditembak, rakaman televisyen turut menunjukkan berlaku satu letupan kecil diikuti serpihan belon yang menjunam ke arah air.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Agensi berita Associated Press berkata, operasi sedang dijalankan di perairan wilayah AS di Lautan Atlantik untuk mendapatkan serpihan daripada belon tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau bagaimanapun memuji operasi berkenaan dengan ciapan Twitter; “Kanada sangat menyokong tindakan ini, kami akan terus beker­jasama … dalam keselamatan dan pertahanan kami.”

Terdahulu, pegawai AS tidak mendedahkan secara terbuka me­ngenai kewujudan belon tersebut di negara itu sehingga Khamis lalu.

Kata Wakil AS, Mike Ro­gers iaitu seorang Republikan yang mengetuai Jawatankuasa Perkhid­matan Bersenjata Dewan, beliau menyifatkan pentadbiran Biden dengan sengaja mahu menyembunyikan kegagalan keselamatan negara daripada Kongres dan rakyat AS.

Senator Mississippi Roger ­Wicker, anggota tertinggi Republikan dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat pula berkata, membenarkan belon pengintip dari Parti Komunis China untuk mengembara ke seluruh benua AS adalah unjuran kelemahan oleh White House,” katanya. –AFP/AGENSI

Belon pengintip China akhirnya ditembak jatuh

 

China tuduh AS langgar amalan antarabangsa

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Kecewa dengan politik, 2 MP Umno bakal letak jawatan?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker