Jaringan Messi gagal bantu PSG

LISBON: Paris Saint-Germain terpaksa menamatkan saingan dengan seri 1-1 di Benfica pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi walaupun Lionel Messi meledak jaringan lencong.

Bintang Argentina itu menjaringkan gol pada pertengahan babak pertama di Lisbon tetapi gol sendiri Danilo Pereira sebelum rehat memastikan PSG dan Benfica kekal di tangga teratas Kumpulan H dengan tujuh mata.

Kedua-dua kelab gagal menang buat kali kedua musim ini dalam semua kejohanan tetapi empat mata di depan Juventus, yang bangkit selepas dua kekalahan dengan menewaskan Maccabi Haifa 3-1 di laman sendiri.

“Kami tahu sukar bermain di sini, dengan suasana seperti ini. Benfica berada dalam prestasi terbaik,” kata kapten PSG, Marquinhos kepada Canal Plus.



Messi hanya menjaringkan 11 gol dalam 34 perlawanan pertamanya buat PSG musim lalu tetapi kini sudah meledak 13 gol.

“Ia normal, ia memerlukan sedikit masa,” kata Marquinhos. “Kini kami rasa lebih selesa… Saya harap Leo Messi akan melalui musim yang hebat hingga penamat untuk menang gelaran ini.”

Menduduki tangga teratas Liga Portugal, Benfica sentiasa memberikan tekanan buat PSG ketika tuan rumah itu bermula baik.

Goncalo Ramos yang menjadi minat PSG sebelum ini, menyaksikan cubaannya dihalang kaki Gianluigi Donnarumma.



Sepakan Ramos kemudiannya ditepis Donnarumma sebelum penjaga gol Itali menyelamatkan cubaan David Neres.

Namun gandingan tiga penyerang PSG – Messi, Neymar dan Kylian Mbappe secara tiba-tiba mendapat rentak dengan pemain Argentina itu menyudahkan gerakan yang dimulakannya seterusnya meledak jaringan ke-127 dalam Liga Juara-Juara.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker