Wanita rentung rumah terbakar di Tikolod

 

Seorang wanita ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tikolod, di sini, tengah malam tadi.

Mayat Norhabibah Awang, 30, dijumpai di bahagian ruang tamu rumah itu oleh anggota bomba, manakala sembilan lagi ahli keluarganya sempat keluar menyelamatkan diri dalam insiden berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky @ Dominic, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.25 tengah malam.

Susulan itu, beliau berkata, sembilan anggota dikerah ke lokasi yang terletak sejauh 20 kilometer dari BBP Tambunan.

“Insiden membabitkan sebuah rumah yang terbakar 90 peratus. Setiba di lokasi, anggota segera menjalankan operasi pemadaman api menggunakan air dari tangki jentera dan pili bomba terdekat.

“Terdapat 10 penghuni di dalam kediaman itu dan seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemui rentung di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Desmond berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 1.45 pagi selepas api dipadamkan sepenuhnya.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker