Sistem rawatan berpusat tingkat kecekapan sisa buangan industri – Pakar

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Pelaksanaan sistem rawatan industri berpusat dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa buangan perindustrian, sekali gus menaik taraf kualiti sumber air di negara ini.

Pakar kualiti air dan permodelan Dr Zaki Zainudin berkata langkah itu juga dapat memastikan setiap kilang mematuhi piawaian pelepasan sisa buangan ke dalam sungai yang ditetapkan, selain memudahkan pemantauan pihak berkuasa dan kerajaan negeri.

“Saya dapati banyak kawasan perindustrian di Malaysia belum lagi melaksanakan sistem rawatan industri berpusat kerana ketika ini setiap kilang mempunyai sistem rawatan air sisa sendiri yang mereka rawat dan lepaskan dalam sungai. Namun kita tidak pasti adakah setiap kilang itu betul-betul mengikut piawaian.

“Sekiranya kita laksana sistem rawatan industri berpusat ini, jika berlaku pelepasan sisa secara haram oleh sesebuah kilang, adalah lebih mudah untuk dikesan dan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa webinar sempena Hari Alam Sekitar Negara yang disiarkan secara langsung di Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia hari ini.

Zaki berkata sistem berpusat ini juga membolehkan proses water reclamation dilaksanakan iaitu merawat air buangan menjadi air yang boleh digunakan semula untuk tujuan lain.

Proses rawatan itu, katanya, boleh menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan sekali gus membantu memulihkan alam sekitar.

“Kalau kita boleh menggunakan sistem teknologi maju, kita boleh jual balik air terawat ini kepada industri untuk kegunaan mereka dan sebenarnya proses ini boleh menjana pendapatan contohnya kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Friends of Rivers Malaysia, Mansor Abd Ghani menekankan kepentingan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjaga sumber air negara melalui aktiviti gotong-royong bersama komuniti.

Katanya sejak tiga tahun lepas, pihaknya dengan kerjasama komuniti setempat telah membersihkan 52 lokasi denai sungai setiap minggu, dalam usaha membantu masyarakat menghargai keindahan sungai yang boleh dijadikan tempat beriadah.

Langkah itu, katanya, bertepatan dengan sasaran kerajaan untuk mewujudkan 10,000 kilometer denai sungai kebangsaan menjelang 2030, sebagai ekosistem dan kualiti air yang baik untuk kegunaan masyarakat.

— BERNAMA

KAF SOKONG USAHA FELDA AMBIL SEMULA “LOMBONG EMAS”

KAF SOKONG USAHA FELDA AMBIL SEMULA “LOMBONG EMAS”

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker