Foden berjaya pikul tanggungjawab tanpa Haaland

 

Oleh Razak Hasan

Foden berjaya pikul tanggungjawab tanpa Haaland
FODEN meledak hatrik ketika membantu City membenam Villa pada aksi di tempat sendiri awal pagi semalam

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pemainnya, Phil Foden diberikan anugerah naluri gol yang cukup luar biasa selepas meledak hatrik ketika menewaskan Aston Villa 4-1 awal pagi semalam.

Kemenangan itu menyaksikan City terus bersaing dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika Guardiola membuat keputusan meletakkan penggempur utama mereka, Erling Haaland di bangku simpanan.



Ketiadaan Haaland menyaksikan Foden berjaya memikul tanggungjawab sebagai peledak utama apabila meledak gol pertama menerusi sepakan percuma menarik pada hujung babak pertama.

“Etika kerjanya sangat luar biasa. Dia bermain sebagai pemain tengah dan mempunyai naluri gol yang cukup hebat dalam urat sarafnya dan sangat baik buat kami. Dia memiliki bakat semulajadi, ia hadiah istimewa buat dirinya,” kata Guardiola.

Pemain antarabangsa England berusia 23 tahun itu melengkapkan hatriknya pada babak kedua apabila menambah dua lagi gol dalam tempoh tujuh minit sekali gus melengkapkan jaringan ke-21 dalam semua kejohanan musim ini.

Guardiola mengakui kemampuan Foden tidak akan mempunyai batas dan dia mampu untuk melakukan apa sahaja yang diinginkan sambil menyifatkan pemain itu sudah berada pada tahap berkelas dunia.



“Apabila kami mengawal bola di kawasan terakhir pihak lawan, Foden selalunya akan memiliki naluri untuk menjaringkan gol. Dia tidak memerlukan banyak sentuhan untuk meletakkan bola di dalam gawang.

“Menjadi seorang penjaring gol sentiasa sukar dalam bola sepak. Apabila anda memiliki sentuhan sebegitu, ia pastinya hadiah yang istimewa buat pasukan,” jelasnya. – Kosmo Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button