UiTM sedia menu makanan serendah RM3.50

Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan 14 menu Keluarga Malaysia RM3.50 menerusi lebih 400 penggerai di kampus induk dan kampus cawangan secara berperingkat mulai 8 Julai lalu.

Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pelaksanaan itu mendapat persetujuan daripada penggerai berkenaan dengan mempelbagai harga menu, bukan sahaja RM3.50.

“Di UiTM ini, kita ada lebih 400 penggerai dan kita ada 35 kampus, Alhamdulillah kita sudah dapat semua data itu di mana penggerai kata sanggup dengan syarat yang berharga RM3.50 itu menu khas yang dipanggil menu Keluarga Malaysia.

“Menu (Keluarga Malaysia RM3.50) ada yang tiga empat kuih, ada nasi dan lauk seperti nasi bersama ayam atau ikan dan sayur. Setiap gerai dicadangkan menu ini.

“Tetapi menu dengan harga lain dikekalkan dan siapa ada duit lebih boleh beli kerana kakitangan termasuk saya sendiri juga makan di situ, itu yang ditetapkan semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Penanaman Pokok antara Republic Azerbaijan dan UiTM di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Negeri Republic Azerbaijan, Elnur Mamadov dan Duta Besar Azerbaijan di Malaysia, Irfan Davudov.

Roziah berkata, semalam, UiTM bersama seluruh Universiti Awam (UA) sudah mengadakan mesyuarat berhubung perkara ini dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dalam mesyuarat itu katanya, kementerian juga menegaskan kualiti makanan tidak boleh dikompromi dan mesti berkhasiat meskipun menu berharga RM3.50.

“Semalam menteri meminta UA mewujudkan Jawatankuasa Sara Hidup Siswa, saya mempengerusikan bagi UiTM.

“Menerusi jawatankuasa ini, kita akan menjalankan pemantauan itu dan saya sudah turun ke dua lokasi di Shah Alam ini untuk melihat harga yang ditawarkan.

“Jawatankuasa ini akan memastikan akan ada menawarkan harga RM3.50 membabitkan kepelbagaian 14 menu dan sudah bermula hampir semua gerai contohnya Dataran Cendekia, Kafe Menara, Kompleks Sukan,” katanya.

Sementara itu, mengenai program penanaman 15 pokok dengan kerjasama Republik Azerbaijan termasuk pokok Merbau, Delima, Penaga Lilin, beliau berkata, Kedutaan Azerbaijan bersetuju menjayakan inisiatif TREE4FUTURE dengan objektif utama untuk meningkatkan kawasan hijau di dalam kampus, seiring dengan misi UiTM untuk mencapai status Kampus Lestari (Kampus Hijau) menjelang tahun 2025.

“Program bertujuan mempromosikan Bandar Susha sebagai Pusat Kebudayaan Azerbaijan yang dibina pada abad ke-18 dan juga meraikan tahun ke-270 Kota Susha (1752-2022).

“Inisiatif ‘ TREE4FUTURE ‘ yang dimulakan ini bukan sahaja untuk meningkatkan penanaman tumbuh-tumbuhan di sekitar kampus UiTM , tetapi salah satu penyelesaian proaktif kepada pemulihan dan perubahan iklim.

“Saya percaya dengan kerjasama yang menggabungkan kepakaran, kemahiran dan pengetahuan ini pastinya akan meningkatkan usaha UiTM untuk mencapai status Kampus Hijau Lestari menjelang 2025, atau lebih awal daripada itu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker