“Mulut disumbat kain, badan bayi diterlengkup”

Oleh – Syeikh Baran


“Mulut disumbat kain, badan bayi diterlengkup”
Gambar Hiasan

“Saya tak sangka dia sanggup bunuh anak bongsu kami. Selama ini saya pertahankan anak-anak yang didera sehingga saya pun teruk dipukul.”

Demikian luahan ibu kepada bayi lelaki berusia enam bulan yang maut selepas dihentak pada sofa, mulutnya disumbat dengan kain dalam keadaan meniarap dalam bilik gelap oleh bapa kandung sendiri di sebuah pangsapuri Bandar Tasik Kesuma, Beranang, di sini, pada Ahad lalu.



Ibu mangsa, Siti, 20 berkata, anak bongsunya didera selepas dia dan anak perempuan sulungnya yang berusia dua tahun lapan bulan berkunjung ke rumah mentua untuk makan malam kira-kira pukul 8 malam.

Katanya, anaknya, Aysar yang masih nyenyak tidur ditinggalkan dalam jagaan suami kerana rumah mentuanya sangat dekat dimana jaraknya hanya selang beberapa blok sahaja dengan rumahnya.

“Sebelum tinggal anak di rumah, saya dah rasa tak sedap hati tapi disebabkan mentua dah ajak untuk ke rumahnya saya pun tinggal dan pergi dengan anak sulung menaiki motosikal suami. Suami tidak mahu ikut dengan alasan penat sebab kami berempat baru pulang dari Subang.

“Saya balik rumah pukul 10 malam tengok anak masih tidur dalam keadaan dibedung, mata ditutup dengan kain, bergelap tetapi kipas tidak dipasang. Saya merayu supaya pasangkan kipas sebab anak dipakaikan baju tebal namun suami buat tidak endah.



“Pada pukul 11 lebih Aysar menangis, saya bergegas bancuh susu namun suami halang saya dari masuk bilik dan beritahu dia akan jaga anak. Saya nampak dia sumbat mulut anak dengan kain dan telangkupkan Aysar. Memang saya cuba selamatkan anak tapi dia tolak saya ke sofa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Menurut Siti, sebaik terjaga dari tidur pukul 7.40 pagi esoknya, dia terus masuk ke ruangan bilik anaknya dan mendapati anaknya sudah kejung dan tidak bernafas.

“Posisi anak ketika itu sama seperti semalam (pada Ahad). Mulut anak dah ternganga, muka merah dan bila buka bedung, badan dia dah keras dan tak bernafas. Saya beritahu suami dan terus telefon Ambulans,” ceritanya.

Bagaimanapun, bayi terbabit disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat bahkan dia sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa terdapat kesan kecederaan di tengkorak kepala bayinya dipercayai akibat dihentak objek tumpul.



“Arwah anak saya itu pernah ditampar dan dipukul serta mulut disumbat kain oleh suami manakala anak perempuan saya pernah dipukul guna hanger sampai berbirat. Saya kerap bergaduh dengan suami kerana mempertahankan anak sehingga beberapa kali saya turut menjadi mangsa.

“Dia memang bersikap panas baran dan sering memukul saya dan anak-anak tapi perkara ini tidak pernah saya cerita pada ahli keluarga demi menjaga aibnya,” ujarnya.

Suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dikatakan sudah lama tidak bekerja malah dia baru mengetahui suaminya terbabit penyalahgunaan dadah ketika mengajak kawan-kawannya datang ke rumah.

“Saya dapat tahu suami ambil dadah bila kawan-kawan datang rumah dan dia pula akan suruh kami anak-beranak berkurung dalam bilik.



“Saya harap suami mendapat pengajaran dan balasan kerana tergamak membunuh anak kandungnya sendiri,” kata Siti.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button