Terkahwin adik-beradik tidak perlu cerai, dianggap zina

Oleh – Syeikh  Baran


Terkahwin adik-beradik tidak perlu cerai, dianggap zina
Gambar Hiasan

Tayangan sebuah siri drama Lelaki Itu kini hangat dibualkan dalam kalangan penonton apabila ia memaparkan kisah perkahwinan yang berlaku di antara adik-beradik kandung gara-gara hubungan yang disembunyikan.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli menerusi perkongsian di Facebooknya semalam berkata, perkahwinan antara adik-beradik kandung disebut nikah fasid iaitu pernikahan yang tidak memenuhi syarat-syarat sah bernikah mengikut hukum syarak.

“Kalau dah berkahwin, mereka tak boleh sebut cerai sebab cerai hanya untuk orang yang nikahnya sah.

“Haram hukumnya seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Ada pertalian darah dan nasab di situ. Kalau diteruskan juga, sepanjang hidup akan terus hidup dalam perzinaan.

“Jadi, mereka perlu buat permohonan faraq nikah mahkamah syariah, iaitu mohon untuk membatalkan perkahwinan dan mohon ampun serta bertaubat atas ketidaksengajaan isu ini (kahwin),” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, anak yang terlahir hasil perkahwinan pasangan adik-beradik kandung tidaklah dianggap sebagai anak tak sah taraf, namun ia digelar anak wati syubhah.

“Dari sudut undang-undang dan hukum syarak, anak-anak itu boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya.

“Anak itu juga boleh mewarisi pusaka dan perwalian kerana mereka dianggap sebagai anak sah taraf.

“Mengikut Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003 Sek. 114. Persetubuhan Syubhah, jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, kemudiannya perempuan itu melahirkan anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu,” jelasnya.

Jelas Fahmi, kebanyakan kes seperti itu berlaku adalah disebabkan perkahwinan secara senyap atau ia tidak didaftarkan secara sah.

“Kahwin senyap ini kebiasaanya nikah di sempadan Thailand dan balik Malaysia tak buat pengesahan di mahkamah syariah. Ada juga yang balik Malaysia buat pengesahan, tetapi isteri pertama (poligami) tak dimaklumkan.

“Saya selalu cakap sebelum ini, kesan yang paling teruk kahwin senyap ini, adalah kepada wanita. Kalau tak buat pengesahan, kesannya pada wanita dari segi pusakanya, dari segi kelahiran anak yang tak boleh dinasabkan kepada bapanya dan pelbagai lagi,” tegasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker