Lampard kembali ke Chelsea

LONDON: Frank Lampard mengakui terkejut apabila sekali lagi ‘dilamar’ Chelsea namun menyatakan ia satu keputusan mudah untuk menerima tugas sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim ini.

Legenda Stamford Bridge itu kembali selepas pemecatan Graham Potter minggu lalu dan disasarkan dapat membantu memperbaiki kedudukan kelab ke arah lebih baik dalam carta Liga Perdana Inggeris yang pada ketika ini berada di kedudukan ke-11 dan mara ke Liga Juara-Juara.

Lampard, 44, menegaskan dia tidak melihat adanya ‘urusan belum selesai’ selepas dipecat sebagai pengendali kelab berkenaan pada Januari 2021.

Bercakap kepada media selepas Chelsea mengesahkan secara rasmi jawatannya, Lampard berkata: “Satu kejutan dari sudut yang kamu tidak pernah tahu keputusan apakah kelab akan lakukan.



“Saya sangat menikmati detik di rumah. Apabila kamu mempunyai masa di rumah, kamu boleh meluangkan masa sepenuhnya kepada keluarga. Namun ia satu keputusan mudah buat saya, ini adalah kelab saya. Saya juga seorang yang sangat praktikal.

“Saya berada di laluan berbeza sejak meninggalkan Chelsea tetapi untuk kembali sekali lagi selepas saya diminta, maka saya hadir dengan satu kepercayaan yang saya boleh membantu sehingga penghujung musim.

“Saya gembira dan bersyukur apabila menerima peluang ini. Saya mempunyai kesefahaman yang baik mengenai skuad, padang latihan, stadium dan penyokong dan saya akan melakukan yang terbaik.”

Ditanya sekiranya dia menjangkakan akan sekali lagi menduduki kerusi panas di Chelsea, penjaring gol terbanyak sepanjang zaman kelab itu berkata: “Saya tidak pernah memikirkannya. Saya memahami kelab dan permainan.



“Jujurnya, tidak pernah terlintas dalam pemikiran untuk kembali sebagai pengurus Chelsea. Tugas saya hanyalah menjadi pengurus terbaik mungkin. Saya tidak melihatnya sebagai satu urusan yang belum selesai.

“Sekarang, saya berada di sini dalam tempoh yang berbeza dan hanya mahu melakukan yang terbaik mungkin. Urusan belum selesai ini dilihat agak ‘Hollywood’ sedikit.”

Lampard yang tidak bekerja sejak dipecat Everton pada Januari, dijadual akan memulakan persiapan pasukan menjelang kunjungan ke Wolves pada Sabtu ini dengan Chelsea menyasarkan untuk berada di atas kedudukan ke-11 Liga Perdana Inggeris yang diduduki ketika ini.

Chelsea selepas itu dijadual bertemu Real Madrid untuk aksi pusingan pertama suku akhir Liga Juara-Juara pada Rabu minggu depan.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker