Pan-gon janji baiki aksi longgar separuh masa kedua

Kuala Lumpur: Aksi longgar di separuh masa kedua ketika diikat Thailand dalam aksi Piala Raja Thai malam tadi perlu diperbaiki segera menjelang aksi final berdepan Tajikistan di Stadium 700th Anniversary di Chiang Mai, Ahad ini.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, beliau menyedari perkara itu dan mengakui akan segera melakukan bedah siasat dan analisis bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, beliau komited untuk membina corak dan cara permainan ala Malaysia namun kelonggaran di babak kedua tidak boleh diulangi.

“Mungkin ia berlaku mengikut situasi, di mana kita secara teknikalnya berani mengambil risiko dan sudah semestinya ia tidak seperti yang kita rancangkan.



“Apabila saya balik ke hotel nanti, kami akan mula menganalisis semula dan melihat apa yang berlaku dan kelemahan yang boleh diperbaiki untuk dikongsikan dengan pemain.

“Kami mahu bentuk cara permainan Malaysia atau DNA…corak menyerang yang diinginkan, dan memberi sesuatu kepada penyokong, dan kami akan perbaikinya,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan yang dibanjiri penyokong skuad Gajah Perang itu, Malaysia berjaya melakar kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi sebenar.

Bagaimanapun skuad Harimau Malaya harus menyalahkan diri sendiri apabila leka di hujung permainan yang menyaksikan Thailand berjaya meledak gol penyamaan menerusi tandukan Pansa Hemviboon, sekaligus memadam kelebihan yang diraih pada babak pertama hasil jaringan Corbin Ong minit 32.



Mujur tuah menyebelahi skuad negara di penentuan penalti yang menyaksikan kesemua lima sepakan berjaya disempurnakan, selain penjaga gol negara Syihan Hazmi bertindak cemerlang menafikan tendangan keempat tuan rumah.

Pengendali berasal dari Korea Selatan itu turut memuji karektor anak didiknya yang berjaya menyerap tekanan hebat daripada pemain dan penyokong Thailand.

“Kami bermain di gelanggang lawan. Boleh dilihat begitu ramai penyokong di sini . Secara mental dan fizikalnya, kami memang berada dalam tekanan tetapi kesemua pemain melakukan tugasan dengan cukup hebat. Kami berjaya mengatasi semua ini.

“Ia adalah persembahan dan mentaliti yang hebat kerana ini adalah satu perlawanan yang sukar tetapi ia berjaya. Akhirnya kami berjaya mendapatkan keputusan yang baik.

“Ini semua hasil usaha daripada pemain. Terima kasih diucapkan kepada pemain Harimau Malaya,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker