UMNO senada titah Agong

Oleh – Syeikh Baran


UMNO senada titah Agong
Ahmad Zahid menjawab pertanyaan media pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda pada Selasa. Foto Bernama

UMNO menyokong penuh segala yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu berkenaan mesti ditangani segera kerana ia terkelas dalam 3R iaitu agama, kaum dan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, sungguhpun permohonan maaf telah dibuat oleh pihak pengurusan pasar raya berkenaan, ia tidak boleh dipandang ringan.

“Kita harap mana-mana pasar raya yang ada rangkaian di seluruh negara belajar daripada kesilapan ini dan kita tidak mahu ada yang mengambil ringan apatah lagi yang mengambil kesempatan.

“Kita juga harap pandangan Yang di-Pertuan Agong serta Pemangku Sultan Johor dijadikan sebagai asas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Felda, Sungkai di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid juga sudah meminta Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh untuk menyantuni isu berkenaan.

Terdahulu media melaporkan Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu tindakan paling keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurut baginda, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ALLAH dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ALLAH di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker