Celcom Axiata catat peningkatan hasil

KEUNTUNGAN selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) Celcom Axiata Bhd meningkat sebanyak 65.3 peratus pada suku ketiga 2022 kepada RM856 juta walaupun Cukai Makmur lebih tinggi.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) naik 12.4 peratus kepada RM2.29 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2022, disokong oleh pengurusan kos berterusan yang menyebabkan perbelanjaan operasi (opex) rendah dan pemulihan hutang yang tinggi.

Hasil (tidak termasuk peranti) Celcom meningkat sebanyak 3.9 peratus setakat ini (YTD) kepada RM4.58 bilion, dipacu oleh hasil prabayar dan sumbangan daripada anak syarikat enterprise yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Idham Nawawi berkata, prestasi yang kukuh sepanjang suku tahun merupakan hasil daripada program transformasi yang meliputi setiap bahagian organisasi.



“Kami memberi prestasi kewangan cemerlang merentas semua metrik utama selain memperoleh saham pasaran bagi bahagian pasaran yang sangat kompetitif dan persekitaran makro yang mencabar,” katanya.

Idham berkata, menangani pertumbuhan trafik data yang semakin meningkat kekal menjadi keutamaan berikutan Celcom melabur lebih RM1.8 bilion untuk menampung pertumbuhan yang ketara bagi permintaan trafik sejak tiga tahun lalu.

Trafik data Celcom meningkat 73 peratus kepada 1.78 terabait (TB) berbanding 1.025 TB tiga tahun lepas manakala purata penggunaan data bulanan setiap pengguna juga meningkat 75 peratus kepada 26.2 gigabait (GB) pada suku ketiga tahun kewangan 2022 berbanding 14.9GB pada suku pertama 2020.

Mengenai prospek penggabungan antara Celcom dan Digi.Com Bhd, Idham berkata syarikat akan memulakan lembaran baharu dan memeterai penggabungan itu pada landasan yang kukuh.



“Perjalanan transformasi kami telah menjadikan organisasi kami lebih kuat dan berdaya tahan dan kami memulakan penggabungan bersama-sama Digi dengan momentum yang positif.

“Kami berhasrat supaya syarikat yang digabungkan akan terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan mampu milik, menghubungkan lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker