Maut dilanggar kereta potong tak lepas

Baling: Pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya bertembung kereta di Kampung Bandar, Jalan Baling/Weng/Tanjung Pari, di sini malam tadi.

Mangsa, Ahmad Halime Yusof, 56, dari Kampung Bechah Sawa, Mukim Siong, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, anggotanya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 9.50 malam.



Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal terbabit dari arah Baling menghala ke Tanjung Pari.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 42 tahun dari arah bertentangan tidak lepas sewaktu memotong dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Selepas itu, penunggang motosikal itu terjatuh di bahu jalan sebelah kiri manakala pemandu kereta terbabit hilang kawalan dan melanggar pengadang besi jalan di sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.



“Pemandu kereta Perodua Myvi terbabit hanya mengalami cedera ringan di muka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button