Perkasakan Sekuriti Makanan Kesan Daripada Pandemik COVID -19 – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan perlu memberikan perhatian serius bagi memperkasakan sekuriti makanan negara kesan daripada pandemik COVID-19.

Menurut beliau walaupun kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (Global Food Security Index) telah meningkat kepada tangga ke-28 pada tahun 2019, berbanding tangga ke-48 pada tahun 2018, namun ketika negara dan dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19 aspek sekuriti makanan tidak boleh dipandang ringan dan remeh.

“Justeru antara lain kerajaan perlu meningkatkan peruntukan belanjawan tahunan kepada sektor pertanian, perikanan dan penternakan. Pada masa yang sama memaksimumkan kadar guna tanah pertanian dan mengelakkan penukaran status tanah pertanian bagi tujuan perindustrian dan komersial.

“Seterusnya memanfaatkan penggunaan teknologi baharu Revolusi Industri 4.0, seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, analitik big data, dron dan robotik dalam pelaksanaan konsep pertanian pintar ‘ smart farming’ yang mampu meningkatkan produktiviti sektor pertanian,” katanya menerusi catatan di facebook.



Kata Ahmad Zahid lagi kerajaan juga perlu menumpukan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan selain kempen dan menggalakkan rakyat mengutamakan produk makanan tempatan.

“Saya percaya sekiranya sekuriti makanan negara berada dalam keadaan stabil dan mencukupi ia dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import bekalan makanan dan dapat meningkatkan aliran pertumbuhan ekonomi dalam negara serta mampu menjadi pelan kontingensi sekiranya wabak COVID-19 berlanjutan,” tambahnya.

Tambahnya lagi berdasarkan laporan buletin suku tahunan ketiga 2019 Bank Negara Malaysia (BNM), ‘import makanan’, Malaysia kekal sebagai pengimport makanan dengan kadar 24 peratus diimport. Pada tahun 2018 sahaja import makanan negara bernilai RM54 bilion, ini menunjukkan bahawa kita belum mencapai tahap kemandirian dalam bekalan makanan. – UMNO ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button