APMM selamatkan tujuh kru kapal layar terbakar berhampiran Pulau Singa Kecil


Kredit: APMM Kedah & Perlis

18/02/2021 02:23 PM

LANGKAWI, 18 Feb — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan tujuh kru sebuah kapal layar yang terbakar ketika berlabuh berhampiran Pulau Singa Kecil dekat sini pagi tadi.

Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kebakaran itu dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Tenggol yang kemudian menyalurkan maklumat kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi pada 8.18 pagi.

“Tujuh lelaki yang merupakan kru kapal tersebut berjaya dipindahkan ke KM Tenggol dan mereka dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya setakat tengah hari ini, kerja-kerja pemadaman api masih dijalankan oleh pihak yang berkaitan namun keadaan angin kuat menyukarkan operasi.

Mohd Zawawi juga berkata tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan pihaknya akan membuat pemantauan berterusan.

“Ejen kapal layar tersebut juga telah dihubungi. APMM Negeri Kedah dan Perlis menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.

“Laporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.

Tujuh nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan APMM

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker