‘Pau’ RM35,000, dua anggota direman

Oleh – Syeikh Baran


‘Pau’ RM35,000, dua anggota direman
GAMBAR HIASAN

Dua lagi anggota polis direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kedua-dua anggota lain-lain pangkat yang direman bermula hari ini dan esok merupakan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Menurutnya, mereka yang ditahan masing-masing berusia 29 dan 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung pemerasan membabitkan keluarga suspek yang ditahan berkaitan kes dadah.



“Polis Johor menahan dua lagi anggota dari IPD Seri Alam bagi melengkapkan siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.

“Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD sama yang direman sejak Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rabu lalu, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam ditahan susulan kes pemerasan terbabit.

Kumar dilaporkan berkata, mereka yang berusia 20 hingga 50 tahun itu direman empat hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.



Terdahulu pada pukul 9.32 malam Isnin lalu, Polis Johor menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Seri Alam.

Seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang RM35,000 kepada anggota berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.

Susulan itu, seorang pegawai serta tujuh anggota termasuk seorang wanita di IPD Seri Alam ditahan kira-kira pukul 2 pagi Selasa lalu untuk siasatan lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker