Cadangan tambah baik gaji penjawat awam

Oleh – Syeikh Baran


Cadangan tambah baik gaji penjawat awam
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam hari ini.

Cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan Hari Pekerja Mei nanti.

Perdana Menteri itu berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 yang diadakan sebentar tadi hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.



“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini bagi membincangkan secara lebih lanjut berhubung struktur gaji penjawat awam.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya ingin tegaskan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia,” jelas Anwar di laman media sosial rasmi beliau hari ini.

Katanya, kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab tersebut dengan mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah.



“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.

“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujar beliau.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button