Bekas Isteri Hafidz Roshdi harap diadili dengan baik

 

Oleh Pena Merah

Bekas Isteri Hafidz Roshdi harap diadili dengan baik
BEKAS isteri pelakon Hafidz Roshdi, Shuhada berharap perbicaraan kes melibatkan pelakon itu terhadapnya mendapat keadilan sewajarnya daripada pihak mahkamah.

Bekas isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri berharap perbicaraan hari pertama kes dicederakan bekas suami yang berjalan hari ini dapat diadili sebaiknya oleh mahkamah.

Shuhada atau Shu, 30, yang hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini berkata, dia tidak memperjuangkan apa-apa, selain hak dirinya dan juga anak-anak.



“Hari ini saya datang dengan semangat dan harapan. Insya-Allah. Saya harap dapat diadili dengan sebaiknya oleh mahkamah.

“Saya tidak perjuangkan apa-apa, selain hak diri dan juga anak-anak,” ujarnya yang ditemani adik perempuan, Nurul Sofia sebagai saksi.

Shu yang tampil anggun mengenakan persalinan sut berona coklat cerah turut kelihatan bersemangat dan berharap agar dapat memberi dorongan kepada golongan wanita lain yang ditindas sepertinya.

“Semangat saya berkobar-kobar kerana suara sebagai mangsa, akhirnya didengari.



“Saya juga berharap agar dapat memberi semangat pada wanita lain yang ditindas,” katanya.

Terdahulu, pihak pembelaan mewakili Hafidz Roshdi akan mengemukakan representasi terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya bagi tuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, pada 13 Mac tahun lalu dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu sebelumnya telah ke Hospital Bahagia pada 29 Mac untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.



-Kosmo Online-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button