EPL: Rembatan Rodri buat Manchester City lega

EPL: Rembatan Rodri buat Manchester City lega

EPL: Rembatan Rodri buat Manchester City lega
RODRI (tengah) muncul wira City apabila meledak gol kemenangan ketika mereka menewaskan Sheffield 2-1 kelmarin. – AFP

SHEFFIELD – Manchester City melonjak ke kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 2-1 menewaskan Sheffield United pada aksi yang berlangsung di Bramall Lane kelmarin.

Gol kemenangan lewat permainan menerusi Rodri pada minit ke-88 berjaya membolehkan City mencatat kemenangan ketiga berturut-turut musim ini.

Kemenangan itu pastinya melegakan City ketika mereka kehilangan Pep Guardiola yang menjalani pemulihan ekoran pembedahan yang dilalui dan tugas mengemudi pasukan dipikul oleh pembantu pengurus, Juanma Lillo.

“Secara umumnya saya fikir para pemain telah memberikan aksi yang baik kali ini. Banyak peluang yang berjaya kami ciptakan, namun dua gol cukup untuk memberikan kemenangan untuk pasukan ini,” kata Lillo.

Pada aksi berkenaan, penggempur sensasi City, Erling Haaland terlepas untuk menjaringkan gol pembukaan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti, namun dia kembali menebus kegagalan tersebut menerusi gol pembukaan menerusi tandukan selepas menerima hantaran Jack Grealish.

“Penalti itu sepatutnya mengubah permainan dan keputusan, tetapi gagal disempurnakan. Bagaimanapun, pasukan kekal stabil dan tidak berputus asa untuk mendapatkan gol.

“Babak kedua kami meningkatkan kepantasan dan mampu menjaringkan banyak gol sebenarnya berbanding apa yang kami peroleh,” ujarnya.

Bagaimanapun, City agak cemas apabila Sheffield berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-85 ekoran kegagalan Kyle Walker mengeluarkan bola dengan baik sebelum rembatan Jayden Bogle gagal diselamatkan Ederson. – AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker