Perlu ada kerjasama semua agensi kerajaan dengan penggiat pelancongan

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis.

KUALA LUMPUR – Semua agensi kerajaan perlu bergerak bersama dengan pemain industri pelancongan bagi memastikan industri berkenaan terus dapat berkembang pesat seterusnya memberikan kesan yang amat baik kepada ekonomi negara.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berkata tidak ada gunanya jika pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membuat promosi hebat mempromosikan negara ini tetapi ada agensi yang tidak seiring menyokong promosi berkenaan.

Menurut beliau, baru-baru ini menerima aduan dari para penggiat industri pelancongan dari negara ini dan dari negara India bahawa mereka menerima satu pemberitahuan yang memaklumkan portal memohon visa secara online untuk masuk ke Malaysia sudah ditutup sementara.

“Selain itu permohonan untuk visa melalui wakil kumpulan pelancong juga tidak akan diterima bermaksud sesiapa sahaja yang ingin melancong ke Malaysia perlu hadir sendiri ke Kedutaan Malaysia di India, mohon sendiri secara bersemuka dan ini menyusahkan para pelancong.



“Menurut penggiat industri, sudah dua minggu sistem ini ‘down’,” katanya dalam sidang media sempena Malaysia Tourism Council Gold Awards 2022 di Ampang, semalam.

Uzaidi berkata menurut pihak Jabatan Imigresen yang beliau hubungi masalah berkenaan ialah berkaitan pihak vendor.

“Adakah kita mahu menerima kesalahan ini dikaitkan dengan vendor, industri pelancongan baru sahaj hendak kembali pulih tetapi kini masalah lain pula timbul?” katanya.

Beliau menggesa semua pihak memikirkan cara bagaimana untuk menyelesaikan dan memperbaiki masalah ini kerana pelancong mahukan sistem yang terbaik, mudah dan pantas untuk melancong ke Malaysia tanpa ada sebarang masalah.



“Kami di MTC sangat mementingkan kerjasama. Tiada gunanya bajet besar diperuntukkan oleh pihak kementerian tetapi tiada kerjasama di antara industri dan penguatkuasa.

“Saya amat berharap dalam masa terdekat, masalah berkaitan e-visa ini boleh diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, pada 22 Oktober nanti bertempat di Pusat Konvensyen Borneo di Kuching, Sarawak akan diadakan acara anugerah tahunan kali ke-6 MTC Gold Awards 2022 yang akan memberikan lebih 100 anugerah kepada para pemain industri atas kecemerlangan dan sokongan mereka dalam mengembangkan dan memantapkan industri pelancongan.

Uzaidi dalam sidang media sama berkata MTC Gold Awards itu juga diadakan bagi memberikan galakan serta membangkitan semangat para pemain industri pelancongan yang bukan sahaja telah bertarung dengan pandemik yang kejam, bahkan terpaksa mengatasi pelbagai kesukaran agar kekal bertahan dalam kehidupan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan merasmikan majlis anugerah berkenaan diiringi bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Ini merupakan kali pertama majlis MTC Gold Awards diadakan di Sarawak di Malaysia Timur dan ia menandakan usahasama julung kali antara MTC dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menganjurkan majlis berprestij berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker