Kedah tetap tuntut RM100 juta setahun kekal hutan simpan

Oleh – Syeikh Baran


Kedah tetap tuntut RM100 juta setahun kekal hutan simpan
Muhammad Sanusi

Kerajaan negeri enggan berundur dan akan terus menuntut bayaran sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan, sebagai pampasan terhadap komitmen mengekalkan hutan simpan yang membawa manfaat besar kepada negara ini terutamanya berkaitan pertanian dan bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, surat tuntutan tersebut dihantar setiap tahun kepada setiap Perdana Menteri sejak sekian lama namun hingga kini, tiada maklum balas diterima.

Katanya, tuntutan tersebut tidaklah terlalu besar untuk dipenuhi oleh kerajaan Persekutuan memandangkan Bajet Persekutuan setiap tahun melebihi RM300 bilion.

“RM100 juta untuk menjaga hutan di negeri ini termasuk 341,000 hektar di Ulu Muda bukanlah satu nilai yang besar untuk kerajaan Persekutuan. Mereka mempunyai peruntukan bajet lebih RM300 bilion setiap tahun sedangkan bajet Kedah cuma kira-kira RM1 bilion saja.

“Hutan seluas itu tak dapat kita sentuh bagi menjaga bekalan air untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Bukan saja untuk keperluan hidup malah untuk saliran pertanian.

“Kedah disuruh berkorban termasuk tidak boleh membangunkan tanah demi penanaman padi yang menjadi makanan ruji penduduk negara ini tetapi duit kerajaan Persekutuan tak mahu beri. Malah kita ditekan macam-macam termasuk tangkap tengah malam dan dituduh melakukan pelbagai perkara, macam mana kita tak marah?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pesta buku di Dewan Serbaguna Pokok Sena dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau hairan mengapa ada pihak yang menuduh kononnya Kedah melakukan pembalakan di kawasan Ulu Muda hingga menyebabkan kawasan itu tercemar sedangkan penguatkuasaan peraturan, undang-undang, proses dan prosedur semuanya dilakukan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang merupakan agensi kerajaan Persekutuan.

“Jabatan itu yang menguruskan hutan termasuk berkaitan had tebangan, saiz pokok serta had pengeluaran. Jadi mengapa ada pihak asyik hentam kerajaan negeri?

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker