Harimau Malaya tidak bernasib baik – Faisal

 

Oleh Pena Merah

Harimau Malaya tidak bernasib baik - Faisal
Faisal menjalani latihan menjelang aksi menentang Oman.

Skuad Harimau Malaya disifatkan seakan tidak bernasib baik apabila perlu mengharungi dua aksi penting berdepan Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 ketika pemain sedang ‘berehat’ tanpa sebarang aksi liga tempatan.

Situasi itu diakui pemain sayap negara, Faisal Halim yang melihat pemain negara berdepan saat yang sukar dalam rangka persiapan untuk menentang pasukan di ranking ke-80 dunia itu pada 22 Mac dan 26 Mac nanti.

Perkembangan ini sekali gus menyebabkan intensiti latihan skuad kebangsaan terpaksa ditingkatkan oleh barisan kejurulatihan bagi memastikan pemain memiliki tahap ‘match fitness’ yang terbaik sebelum turun menentang Oman.

“Kadangkala masa tak kena dengan perlawanan kita tetapi pemain kena bersedia dan fokus. Apa yang boleh saya katakan, semua pemain dalam skuad sedikit malang sebab waktu mereka sertai (kem latihan), situasi sangat sukar.

“Kita menjalani intensiti latihan yang tinggi tetapi kita faham perkara itu perlu dilakukan kerana kita tiada ‘match fitness’. Jadi kita kena bekerja keras untuk mendapatkan kejayaan.

“Inilah perkara yang kita kena hadapi dan kita nampak jurulatih Kim (Pan Gon) pun beri penekanan untuk ‘match fitness’. Taktikal pun sikit-sikit untuk buat pemain baharu faham apa yang kita mahu lakukan ketika bermain nanti.

“Ramai pemain muda bertanya bagaimana saya boleh main (latihan intensiti tinggi) tetapi ini peluang untuk mereka. Kalau dapat ikut (sesi latihan), rezeki mereka ada di sini dan di sinilah waktu mereka menyinar,” kata Faisal.

Mengulas lanjut aksi berdepan Oman, pemain yang mesra disapa Mickey melihat dua pertembungan ini sebagai kesempatan terbaik untuk skuad kebangsaan melayakkan diri lebih awal ke pusingan seterusnya.

“Ini peluang terbaik sebab itulah jurulatih mahukan latihan awal. Sekiranya kita berjaya mendapat mata di Oman dan kemudian dapat mata di Bukit Jalil, saya rasa kita sudah selamat untuk ke pusingan seterusnya.

“Cuma ketika ini kita berdepan saat genting yang mencabar. Kita ada baki empat perlawanan lagi tetapi kita kena pilih laluan mudah. Kita tidak mahu tunggu sehingga dua perlawanan terakhir untuk layak,” katanya. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker