Anggota polis cedera dilanggar lari

Petaling Jaya: Anggota polis cedera selepas dipercayai dilanggar lari sebuah kereta di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Mentari Court, di sini, hari ini.

Mangsa yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur cedera pada kaki masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, Kuala Lumpur dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta Proton Saga pada 4.19 petang.

“Siasatan mendapati, kereta dari arah Petaling Jaya menghala ke Kuala Lumpur bergesel dengan motosikal ditunggang anggota terbabit.



“Selepas kemalangan, pemandu kereta itu disyaki melarikan diri,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, polis kini sedang giat mengesan pemandu kereta yang terbabit kemalangan itu untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor M Sivam di talian 017-3290749 atau 03-79662222.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker