UUM kedua terbaik di Malaysia

UUM kedua terbaik di Malaysia, di kedudukan 70 universiti terbaik Asia

Sintok: Universiti Utara Malaysia (UUM) kini berada di kedudukan kedua terbaik dalam kalangan universiti awam dan swasta di Malaysia.

Ia sekali gus meletakkan UUM di kedudukan 70 universiti terbaik di Asia dalam ‘Times Higher Education World University Rankings’ (THEWUR) 2023 yang diumumkan semalam.

Dengan lonjakan 200 anak tangga, kedudukan UUM setara dengan University of Denver di Amerika Syarikat, Brunel University di United Kingdom, Victoria University of Wellington di New Zealand dan Murdoch University di Australia yang sama-sama berada di tangga 401 hingga 500 dunia.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, peningkatan dalam kategori impak sitasi yang ketara selain penyelidikan dan penampakan pengantarabangsaan berbanding 2021 menunjukkan strategi yang dilaksanakan melalui Pelan Strategik UUM membuahkan hasil memberangsangkan.



“Kategori penampakan pengantarabangsaan meningkat daripada 315 ke 274 berpunca daripada peningkatan jumlah penuntut dan staf antarabangsa serta aktiviti antarabangsa yang terus melonjak.

“Universiti ini juga membuktikan impak sitasi akademik turut meningkat daripada 883 kepada 660 sekali gus menunjukkan mutu penerbitan, pengajaran dan pembelajaran mencapai tahap yang membanggakan,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Haim Hilman berkata, dengan lonjakan ini, kedudukan UUM dalam ranking dunia turut meningkat berbanding edisi lalu apabila berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia.

“Terima kasih kepada semua warga UUM atas usaha keras membantu dalam semua perkara sehingga universiti dapat meningkatkan ranking di peringkat antarabangsa.



“Ia hasil kerjasama semua peringkat warga universiti yang menyumbang tenaga dan idea sehingga kita berjaya mencapai penarafan antarabangsa terbaik setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ‘THE World University Rankings’ merupakan penarafan universiti yang berasaskan penyelidikan.

Oleh itu, katanya, peningkatan dalam kategori ini di samping sitasi menunjukkan UUM juga setara dengan universiti penyelidikan yang lain.

“Saya berharap semua pihak terus memberikan komitmen dan menjalankan amanah selaras dengan Gagasan Gemilang Akademia dan Admin Holistik (Gagah) yang diterapkan oleh universiti,” katanya.

Bagi edisi terbaharu ini, THE World University Rankings menyenaraikan 1,779 universiti dari 104 negara yang merupakan penyenaraian terbesar sejak dilancarkan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker