Malaysia tegas pertahankan Sabah

Oleh – Syeikh Baran


Malaysia tegas pertahankan Sabah
Fadillah (berdiri, tengah) bersama-sama wakil masjid dan surau di kawasan DUN Tupong yang menerima geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP) bagi meningkatkan kemudahan dan aktiviti sokongan di rumah ibadat berkenaan di Kuching semalam.

Malaysia bersiap sedia dengan apa-apa tindakan untuk mempertahankan Sabah daripada sebarang tuntutan pihak luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerajaan akan terus membela wilayah negara itu daripada jatuh ke tangan pihak luar terbabit, yang dijangka akan terus mencari peluang bagi menuntut Sabah meskipun mereka kalah sebelum ini.

“Kita harus menentang tindakan sedemikian, kita harus membela diri dan yakin akan menang berdasarkan sudut undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Program Fajr & Run Subuh Macam Jumaat di Masjid Al-Quddus, Taman Sri Wangi, hari ini.



Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung tuntutan terbaharu terhadap Sabah oleh kumpulan dari selatan Filipina.

Kumpulan itu menggelar diri mereka sebagai United Tausug Citizens (UTC) yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah.

Mereka meminta kerajaan Malaysia membuat pembayaran segera sebanyak AS$15 bilion (RM70.2 bilion) yang didakwa mereka sebagai ‘Cession Money’ (Wang Penyerahan Wilayah).

Malah kumpulan itu juga mahu Malaysia mengiktiraf UTC sebagai ‘kerajaan yang berdaulat dan merdeka’, selain mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.



Justeru, Fadillah yang juga menteri bertanggungjawab ke atas hal ehwal Sabah dan Sarawak percaya ada pihak yang membiayai kumpulan terbabit susulan tuntutan berterusan itu.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Malaysia tidak melayan sebarang bentuk tuntutan remeh oleh UTC itu.

Menurut Azalina, itu adalah percubaan terkini yang remeh dan tidak berasas oleh satu kumpulan untuk menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia dan memeras wang secara tidak berasas daripada Malaysia.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker