‘Cytroo’ Ismail Sabri gagal menangi hati rakyat

Oleh – Rithauddeen Ismail

 

‘Cybertrooper’ atau dikenali sebagai cytroo merupakan antara keperluan politik dalam era media sosial kini.

Kejayaan atau kegagalan cytroo dalam memenangi hati rakyat akan memberi impak besar terhadap pemimpin politik yang memberi kepercayaan kepada mereka menyerlahkan imej para pemimpin di media sosial.

Pemerhatian sepanjang 2021, kegagalan cytroo Perikatan Nasional-PN telah menyebabkan Muhyiddin Yassin tumbang selepas 17 bulan menjadi Perdana Menteri.

Kini cytroo Keluarga Malaysia juga sudah mulai gagal mempertahankan imej Ismail Sabri di media sosial.

SERANGAN NETIZEN TERHADAP DASAR PN GAGAL DITANGANI CYTROO-PN

Serangan netizen terhadap dasar pemerintahan PN antara elemen yang gagal ditangani cytroo PN ketika itu. Mereka tidak mampu mengawal kemarahan rakyat yang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan-PKP yan diperkenalkan Muhyiddin.

PKP yang dilaksanakan kerajaan PN ketika itu hanya mengundang kritikan serta kemarahan rakyat bila piawaian yang ditetapkan berbeza antara satu kementerian dengan kementerian yang lain. Kegagalan Muhyiddin menyelami kehendak rakyat serta keperluan rakyat ketika itu hanya mengundang padah.

 

 

CYTROO #KELUARGAMALAYSIA ULANGI KESILAPAN CYTROO PN

Selepas tumbangnya Muhyiddin, kini Ismail Sabri pula mengambil alih tampuk di Putrajaya. Keharuman 100 hari pertama Ismail memerintah kini mula tercemar dan diselubungi pelbagai kontroversi.

Paling menjejaskan imej Ismail apabila ada cytroo yang mempertahankan dasar-dasar kerajaan mencari gaduh dengan mangsa banjir dan pencarum KWSP.

2 isu besar ini sebenarnya banyak meninggalkan kesan buruk terhadap imej Ismail Sabri Yaakob.

Mereka (cytroo) memperlekehkan mangsa banjir yang meluahkan keluhan menerusi media sosial, melecehkan pencarum KWSP serta pemohon yang mahu kerajaan serius membantu meluluskan pengeluaran wang mereka sendiri menerusi skim i-Citra.

Jika dilihat dalam media sosial, perdebatan 2 isu ini sebenarnya mengundang pelbagai tanggapan terhadap kerajaan. Semasa perutusan tahun baru oleh Perdana Menteri, siaran tersebut dikuasai luahan negatif serta kemarahan rakyat terhadap Ismail. Ini sesuatu yang amat tidak bagus untuk pentadbiran Ismail Sabri.

 

Cytroo Ismail pula tidak peka dengan kemarahan rakyat membakar amarah dengan kata-kata yang mengguris hati rakyat. Ini sesuatu yang perlu dilihat sebagai perbuatan ‘sabotaj’ terhadap kerajaan yang datang daripada cytroo pro kerajaan sendiri.

Bagaimana mereka menjelaskan bantuan yang diusahakan Ismail Sabri? Dengan memperlekehkan rakyat atau dengan menganggap rakyat hanya ‘menyalak’ meminta bantuan diberikan tanpa mahu berusaha sendiri?

Perlu diingatkan rakyat baru sahaja mahu memulakan kehidupan selepas ‘terkurung’ dan ada yang sudah hilang punca pencarian pendapatan selepas covid melanda negara. 

Bagi mangsa banjir pula, mereka mahu bermula dari titik kosong selepas banyak kerosakan harta benda berlaku dalam musibah serta pelbagai kos lain yang perlu dilunaskan.

Kelemahan ketara Ismail Sabri yang dilihat terlalu akur dengan PN mengundang persepsi negatif dikalangan rakyat dan netizen.

KWSP

Ini ditambah dengan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara-MPN yang dilihat tidak memberi apa-apa impak kepada kerajaan melainkan kritikan.

Ditambah dengan kegagalan menteri khususnya dari PN yang sekali lagi mengulangi kesilapan ketika berkhidmat dibawah kerajaan Pakatan Harapan-PH menyebabkan netizen dan rakyat mulai skeptikal terhadap Ismail.

Datuk Seri Ismail Sabri seorang individu yang ada hati untuk rakyat Malaysia tetapi kerana kegagalan cytroo, penasihat serta menteri yang mengelilinginya, beliau kini menjadi tempat melempiaskan kemarahan rakyat. 

Mungkin rombakan besar-besaran perlu dilakukan agar Ismail Sabri menampakkan diri tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pentadbirannya bagi meraih semula kepercayaan rakyat Malaysia.

Atau lebih mudah Ismail Sabri perlu bertegas membubarkan parlimen dalam masa terdekat bagi memudahkan rakyat mencari mandat baru yang lebih dipercayai dan lebih stabil memerintah negara.

 

 

Perhatian – artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian kami. segala komen adalah tanggungjawab sendiri.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker