Pesawat terhempas babit 2 jurulatih penerbangan, 1 maut

IPOH: Seorang maut, manakala seorang lagi cedera dalam insiden pesawat ringan terhempas membabitkan dua jurulatih penerbangan, di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, di sini, malam ini.

Mangsa, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, mengalami kecederaan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.10 malam tadi, pesawat itu dilaporkan terhempas dalam kawasan rumah pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak bersebelahan sebuah kediaman penduduk..

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata difahamkan kedua-dua mangsa adalah jurulatih penerbangan di sebuah sekolah penerbangan berdekatan lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan pesawat jenis Piper PA 28 bernombor pendaftaran 9M-BAA itu telah berlepas dari sekolah penerbangan terbabit lebih awal lagi.

“Kita percaya mereka melakukan penerbangan lebih awal lagi sebelum kejadian, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka sedang menjalani latihan dan sebagainya.

“Keadaan cuaca ketika polis sampai di tempat kejadian, adalah baik. Justeru, punca insiden masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di lokasi.

Beliau berkata, dua mangsa berkenaan yang tersepit berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 9.20 malam.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta pihak syarikat yang mengendalikan penerbangan dua mangsa itu supaya menghubungi waris mereka.

Katanya, siasatan mengenai punca sebenar kejadian diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang difaham akan memulakan siasatan pada malam ini juga.

 

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker