Pemandu Toyota Vios mengaku tidak bersalah rempuh OKU

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu Toyota Vios mengaku tidak bersalah rempuh OKU
GUAN YAN (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan merempuh seorang OKU sehingga maut dalam kejadian di Parit Sulong, Batu Pahat, 27 Februari lalu.

Seorang pemandu kereta Toyota Vios yang merempuh motosikal ditunggang orang kelainan upaya (OKU) hingga melambung sebelum meninggal dunia di dalam parit dekat Parit Sulong, Februari lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Lim Guan Yan, 24, yang bekerja sebagai pembantu kedai didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.



Mengikut pertuduhan, lelaki didakwa memandu kereta dengan melulu hingga menyebabkan kematian Mohd Riduan Abdullah, 58, di Batu 21, Jalan Muar-Parit Sulong.

Kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi, 27 Februari lalu dan dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) pengguna jalan raya sebelum tular di media sosial.

Berdasarkan laporan polis, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu tertuduh dari arah Muar menghala ke Parit Sulong cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Bagaimanapun, kereta itu gagal memotong lalu bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.



Mangsa kemudian melambung setinggi kira-kira lima meter sebelum terjatuh dalam parit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap bulan sehingga kes selesai.

Kosmo! pada 28 Februari lalu melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kereta sehingga melambung setinggi 10 meter di Batu 21 Jalan Muar-Parit Sulong di sini.



Kemalangan pada pukul 7 pagi itu melibatkan mangsa Mohd Riduan Abdullah, 58, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Beneli dengan kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 24 tahun.

Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading