Julia Farhana, suami beraya di Itali

KUALA LUMPUR : Biarpun tidak dapat menyambut Lebaran bersama keluarga tercinta, pelakon, Julia Farhana Marin, 29, bangga terpilih sebagai anggota delegasi bagi menyertai Far East Film Festival (FEFF) di Udine, Itali.

Ditemani suami, Muhammad Hafiz Che Baharum, 32, Julia yang membintangi filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang bersaing pada acara anugerah mengiktiraf hasil kerja pembikin filem Asia itu, sempat bertemu keluarga sebelum berangkat ke Udine.

“Selepas dapat tahu yang kami akan berada di Itali pada Aidilfitri, saya dan suami meluangkan waktu bersama ahli keluarga.

“Kami sempat pulang berjumpa keluarga Hafiz pada Ramadan. Sedih memanglah sedih tetapi peluang seperti ini tidak datang selalu.

“Lagipun kehadiran ke Itali adalah atas pilihan juri dan penganjur festival,” katanya kepada BH Online.

Julia mahu membawa filem tempatan ke peringkat antarabangsa dan memupuk kesedaran pembikin filem antarabangsa terhadap pelakon berhijab.

“Setiap kali mendapat peluang untuk memperkenalkan diri, saya akan gunakan peluang untuk mempromosikan pelakon berhijab.

“Saya ingin memupuk kesedaran mengenai pelakon berhijab. Saya mahu tunjukkan pelakon wanita dalam filem Coast Guard: Ops Helang adalah orang yang sama tetapi tampil dengan imej berbeza.

“Selain itu, saya juga dapat mengenali pembikin filem antarabangsa, penerbit dan pelakon.

“Bagi saya ini, kehadiran di FEFF adalah hadiah Hari Raya terindah buat saya apabila dapat mewakili Malaysia dalam acara itu,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyambut Aidilfitri di Itali, Julia teruja mendekati cara hidup dan budaya masyarakat di Itali.

Walaupun Hari Raya tidak semeriah di tanah air, namun, ramai umat Islam bermastautin di Itali dengan pelbagai kemudahan seperti masjid.

“Saya dan suami seronok mengayuh basikal mengenakan baju kurung dan baju Melayu,” katanya yang teruja mengumpul pengalaman baharu di Eropah.

Pada edisi ke-25 FEFF, sebanyak 75 filem terpilih.

Filem Coast Guard: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif itu dipertandingkan dalam empat kategori iaitu Golden Mulbery Award bagi Filem Terbaik; White Mulbery Award (penyertaan pertama); Lakon Layar Terbaik dan Pilihan Penonton Terbaik.

Keputusan pemenang FEFF Ke-25 diumumkan, Sabtu ini

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker