Era digital bantu perkukuh Dasar Pandang ke Timur

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun pada bulan lalu dalam memperteguhkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara itu, mampu menjadi pemangkin kepada perubahan dasar di negara ini untuk masa depan.

Apatah lagi Perdana Menteri mengumumkan Dasar Pandang ke Timur yang sudah 40 tahun dilaksanakan akan diteruskan, sekali gus menunjukkan kejayaan dasar ini.

Ia juga bertepatan dengan ulang tahun ke-65 kewujudan hubungan diplomatik antara Malaysia-Jepun dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang bersejarah, sekali gus membawa perkembangan baharu kedua-dua negara.

Hubungan Malaysia-Jepun diperteguhkan itu bukan sahaja membabitkan hal ehwal politik dan ekonomi secara konvensional semata-mata, tetapi diikat satu dasar konkrit.

Ikatan hubungan akrab dua negara melalui Dasar Pandang ke Timur dicetuskan Malaysia dan disambut baik oleh Jepun sehingga kini menunjukkan satu dasar terhadap perjalanan hal ehwal antarabangsa bijak dengan asas yang kuat.

Jika tidak kerana wujudnya Dasar Pandang ke Timur, hubungan dua hala Malaysia-Jepun mungkin tidak serancak seperti dapat dilihat dalam pembangunan negara, terutama pada dua dekad pelaksanaannya.

Dasar Pandang ke Timur bernasib baik kerana apabila dilaksanakan, ia bukan hanya bersifat dasar ‘bertepuk sebelah tangan’, tetapi disambut Jepun atas dasar hormat terhadap Malaysia.

Ketika awal dasar ini mula diperkenal, komitmen tinggi diberikan Perdana Menteri Jepun, Nakasone, pada Januari 1983 bahawa Dasar Pandang ke Timur menjadi jambatan kerjasama lebih rapat antara Malaysia dengan negara itu, terutama fokus asas dalam aspek tumpuan pembangunan sektor ekonomi, perindustrian, latihan teknikal dan akademik, program kemajuan eksekutif, penyelidikan dan pengurusan.

Walaupun Malaysia dan Jepun bertukar kepemimpinan Perdana Menteri berkali-kali, kekukuhan Dasar Pandang ke Timur itu sendiri yang mempunyai asas kuat, menyebabkan ia terus relevan dilaksanakan.

Dasar Pandang ke Timur berjaya hidup dan membina akar umbi kuat akibat kebolehan dasar berkenaan menyebarkan kebaikan dan kejayaan kepada ramai orang dan juga membabitkan nikmat besar yang dapat dikongsi pelbagai pihak di kedua-dua negara terbabit,

Lawatan Perdana Menteri ke Jepun dengan penyertaan bagi Persidangan Antarabangsa Ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas undangan Nikkei Incorporated, jelas dengan hasrat beliau memperkasakan integrasi ekonomi serantau serta mengukuhkan kerjasama, selain menjana mekanisme perundingan pemuafakatan dalam menangani cabaran perubahan iklim jelas adalah cabaran masa depan kedua negara di arena antarabangsa.

Aspek perkembangan industri digital juga dilihat memainkan peranan utama bagi Ismail Sabri. Ini menunjukkan kepekaan beliau terhadap perkembangan baru teknologi.

Hubungan Malaysia-Jepun diharap berkekalan berdasarkan prinsip diplomasi dan memperkukuhkan dasar tanpa mengira sentimen politik kepartian dan ketokohan peribadi semata-mata.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker