MAHASISWA BALIK KAMPUNG BERPERINGKAT MULAI MALAM INI – KENYATAAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI

 

KENYATAAN MEDIA

PELAJAR IPT PULANG KE KAMPUNG HALAMAN MULAI MALAM INI

Seramai 790 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) akan berlepas dari sembilan pusat pelepasan yang terdiri daripada IPT di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk pulang ke kampung halaman malam ini. Penghantaran pelajar malam ini merupakan penghantaran yang pertama di seluruh negara.



Sembilan pusat pelepasan tersebut ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTM KL), Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.



Pergerakan pelajar ke 17 destinasi di tiga buah negeri di utara tanah air akan bermula dari pusat pelepasan pada jam 9 malam menggunakan perkhidmatan 50 buah bas yang telah disanitasi. Daripada jumlah tersebut, 32 buah bas menuju ke Negeri Kedah, 13 buah bas ke Negeri Pulau Pinang dan 5 buah bas lagi menuju ke Negeri Perlis.

Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar di Ibu Pejabat Polis(IPD)/Pejabat Daerah yang telah dikenalpasti. Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terlibat.

Taburan pelajar IPTA yang berlepas dari pusat pelepasan IPT adalah seperti berikut: 89 dari UIAM, 150 dari UKM, 164 dari UM, 80 dari UPM, 146 dari UiTM Shah Alam, 50 dari UPNM, 49 dari UTM KL, 31 dari USIM KL dan 31 dari Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kerajaan sebelum ini telah memutuskan untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan zon hijau ke kampung halaman yang berada di dalam zon hijau secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

DATO’ DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
27 APRIL 2020

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker