BNM sukar elak satu lagi kenaikan OPR bulan depan

KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bulan depan dilihat sukar untuk dielakkan apabila Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan besar untuk menaikkan lagi kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), sekali gus memberi tekanan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melakukan tindakan serupa.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata sekiranya Fed terus menaikkan faedah lagi pada bulan November dan Disember tahun ini seperti yang diunjurkan iaitu sebanyak 0.75 peratus setiap bulan, maka ia akan memberikan tekanan kepada BNM untuk merapatkan jurang dengan bank pusat AS itu.

Namun, katanya, walaupun kadar faedah akan dinaikkan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan datang, ia tidak banyak membantu penurunan nilai ringgit yang dijangka terus susut bersama mata wang lain berbanding dolar AS, yang dijangka semakin mengukuh selepas ini.

“Antara indeks yang mengukur kekuatan dolar AS adalah DXY, iaitu indeks (atau ukuran) nilai dolar AS berbanding sekumpulan mata wang asing, yang sering dirujuk sebagai sekumpulan mata wang rakan perdagangan AS.

“Kini, ia berada pada kadar 113, telah meningkat 20 peratus dalam tempoh setahun lalu. Index DXY dijangka akan terus naik sekiranya bank pusat AS terus menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat, dijangkakan kenaikan 0.75 peratus pada November dan kadar yang sama sekali lagi dalam bulan Disember, menjadikannya 4.75 peratus pada akhir tahun ini,” katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi berkata, bank pusat AS itu dijangka terus menaikkan kadar faedah sehingga tahun depan apabila kadar inflasi setiap bulan dapat diturunkan daripada 8.0 peratus ketika kepada hanya 2.0 peratus yang menjadi sasaran Fed.

“Maka indeks DXY dijangka akan terus meningkat dan mempengaruhi mata wang negara dunia termasuk Malaysia untuk terus menjadi lemah,” katanya.

Penganalisis ekonomi bebas, Samirul Ariff, berkata sekiranya OPR tidak dinaikkan maka julat perbezaan antara pulangan dari hasil kadar faedah di AS dan pasaran kewangan tempatan akan semakin melebar, yang seterusnya akan menggalakkan aliran keluar dana (terutamanya Dana Portfolio) dari pasaran negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.

“Tumpuan utama Fed adalah meredakan inflasi di AS sehingga mereka sanggup melihat kadar pengangguran setinggi 7.5 peratus untuk mencapai kadar inflasi di bawah 2.0 peratus.

“Saya menduga bahawa Fed akan terus menaikkan kadar faedah di AS sehingga mencapai 4.5 hingga 4.75 peratus pada tahun 2023, yang menjadi sebab utama dolar AS mengukuh berbanding kebanyakan mata wang lain, walaupun prestasi ringgit adalah lebih baik daripada purata kebanyakan mata wang Asia Timur pada 2022,” katanya.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya baru-baru ini berkata, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada November berikutan Indeks Harga Pengguna (IHP) teras yang kukuh dicatatkan pada September.

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik terus mengukuh apabila kadar inflasi teras kembali mencecah paras tertinggi baharu pada 4.0 peratus tahun ke tahun pada September 2022, manakala harga teras masih meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan.

Bagaimanapun, inflasi keseluruhan merosot kepada 4.5 peratus tahun ke tahun, manakala inflasi bukan makanan dan inflasi makanan, masing-masing susut kepada 3.3 peratus dan 6.8 peratus.

MIDF Research menjangka tekanan inflasi di Malaysia sederhana selepas Ogos 2022, terutamanya dengan pembetulan untuk harga komoditi global dan tekanan rantaian bekalan yang berkurangan di peringkat domestik dan serantau.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker