Terawih 20 rakaat dalam masa 10 minit

Jakarta: Terawih kilat yang dilaksanakan antara tujuh hingga 10 minit antara tradisi unik diamalkan sebuah pusat pengajian Islam terkenal di Blitar, Jawa Timur, Indonesia, sejak 116 tahun lalu.

Pengurus Pondok Pesantren Mambaul Hikam Mantenan, Dliya’uddin Azzamzami Zubaidi berkata, solat terawih kilat ini sudah dilakukan secara turun temurun sejak pengasasnya Kiai Abdul Ghofur pada 1907.

Katanya, sejarah Terawih 20 rakaat serta tiga Witir yang dilaksanakan dalam masa tidak sampai 10 minit itu bermula apabila Kiai Abdul Ghofur memahami kesulitan penduduk enggan mengambil masa lama menunaikan solat itu kerana sebahagiannya kepenatan bertani sepanjang hari.



“Inisiatif ini akhirnya diambil bagi memastikan penduduk setempat tidak terbeban menunaikan Terawih pada Ramadan.

“Cara ini berjaya menggalakkan penduduk setempat hingga setiap tahun kira-kira 1,500 jemaah datang menunaikan Terawih di sini kerana tarikan utamanya ia dilakukan dalam tempoh singkat,” katanya dalam Detik.com.

Katanya, walaupun dalam tempoh singkat, namun cara itu tetap mengikut syariat Islam dengan tidak mengurangkan rukun atau syarat sah solat.

 



 

“Bacaan wajib dalam solat tetap dibaca serta tumaninah,” katanya.

Seorang jemaah, Udin dari Bakung, Udanawu berkata, dia mengikuti tradisi itu sejak kecil dan kini mengajak anaknya turut serta.



“Saya lebih bersemangat Terawih di sini kerana jemaah ramai dan tidak mengantuk kerana dilaksanakan dengan cepat,” katanya.

Disebabkan kapasiti masjid hanya dapat menampung 750 jemaah, orang ramai yang berkeinginan menunaikan Terawih di situ akan membawa sejadah masing-masing untuk solat di luar.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button