Kejar tapir di waktu sahur

Oleh – Syeikh Baran


Kejar tapir di waktu sahur
RAKAMAN tular pihak APM dan Perhilitan mengejar tapir yang terlepas dari Zoo Johor. FOTO tular

Seekor tapir yang terlepas dari Zoo Johor ditemui berkeliaran di Jalan Gertak Merah menuju pusat bandaraya ini, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang membuat rondaan Ops Prihatin terserempak dengan tapir yang sedang berlari ke pusat bandar.

Jurucakap APM berkata, anggota kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi melakukan operasi penyelamatan bersama.

“Insiden berkenaan berlaku sebelum sahur ketika anggota APM sedang membuat rondaan mengesan gelandangan untuk Ops Prihatin melalui laluan berkenaan.

“Apabila ternampak seekor tapir yang berlari menuju pusat bandar, anggota segera menghubungi Perhilitan bagi tujuan penyelamatan selain mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Tapir berkenaan terlepas dari Zoo Johor yang terletak tidak jauh daripada lokasi ditemui.

“Anggota Perhilitan dan APM akhirnya berjaya menangkap tapir berkenaan sebelum memindahkan semula ke Zoo Johor kira-kira jam 4 pagi, selepas kira-kira 40 minit ia melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video seekor tapir yang berlari ke arah pusat bandaraya ini tular di media sosial sejak pagi tadi.

Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan anggota Perhilitan dan APM yang dilihat mengejar tapir berkenaan bagi menyelamatkannya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker