Kekosongan jawatan guru akan diisi segera

KANGAR: Kekosongan jawatan disebabkan guru bersara awal, akan diisi segera bagi memastikan ekosistem pendidikan tidak terganggu akibat kekurangan guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil maklum terhadap isu yang berlaku, namun melihat sitiuasi guru bersara awal tidak dipengaruhi oleh sebab negatif semata-mata.

“Kita ambil maklum (isu guru bersara awal) memang ada, tetapi ada banyak faktor sebenarnya dan ia bukanlah disebabkan faktor negatif semata-mata.



“Ada guru bersara awal ini disebabkan atas faktor keluarga dan kewangan yang sudah stabil. Ada juga kerana isu lain seperti isu kesihatan, kesenjangan menguasai digital dan masalah lain seperti masalah mental.

“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mengambil serius isu ini dan disebabkan itu, kita sediakan pelbagai langkah menangani perkara ini, termasuk berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk memastikan tempat guru yang bersara awal ini segera diganti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis iftar bersama warga pendidikan di Institut Pendidikan Guru Perlis, di sini, semalam.



Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan profesionalisme supaya guru boleh terus bertahan dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata, KPM juga mewujudkan ekosistem sokongan, yang berkait rapat dengan hubungan kesihatan mental dan emosi, sokongan profesionalisme dan pembangunan supaya guru dapat melihat hala tuju kerjaya mereka dengan jelas.

Tahun lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan menganggarkan, lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding yang statistik dikeluarkan KPM pada 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru, bermula Januari tahun sama.



Media sebelum ini melaporkan, antara sebab guru mahu bersara awal adalah disebabkan sistem pendidikan negara, ditambah dengan tekanan kerja menyebabkan golongan pendidik lesu dan mendorong mereka untuk ‘menarik diri’ selepas berpuluh tahun berkhidmat sebagai guru.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button