MCMC sita telefon bimbit Chegu Bard, Papagomo, Salim Iskandar

Oleh – Syeikh Baran


MCMC sita telefon bimbit Chegu Bard, Papagomo, Salim Iskandar
Gambar Hiasan

Telefon bimbit milik Chegu Bard, Papagomo, dan Salim Iskandar disita hari ini bagi membantu siasatan berhubung kandungan dimuat naik mereka di media sosial yang didakwa tidak benar.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, peranti milik ketiga-tiga individu itu disita ketika mereka hadir untuk dirakam percakapan hari ini.

Menurutnya, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin dan Mohamad Salim Iskandar dirakam percakapan di Pejabat MCMC Cyberjaya manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo di Balai Polis Setapak, di sini.

“Penyebaran kandungan tidak benar dengan niat mengganggu pihak lain adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Pegawai penyiasat menyita telefon bimbit milik ketiga-tiga individu tersebut yang digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara sejurus siasatan dilengkapkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan MCMC akan memanggil tiga individu terbabit bagi rakaman percakapan berhubung kandungan yang dimuat naik mereka sebelum ini.

Pada Januari lalu, tiga individu sama pernah tampil memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah Dubai di balai polis Setapak.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker