Terkilan ada pihak guna gambar anak sakit

Jitra: “Ketika sedang diuji menjaga anak sakit, ada pula yang mengambil kesempatan menggunakan gambar anak saya di Facebook (FB) untuk mengutip dana sehingga mencecah jumlah yang banyak,” kata Nurul Ain Jawahir, 29.

Menurutnya, sebelum ini, dia ada memuat naik gambar anaknya, Muhammad Aqil Sudais Muhammad Jefri, 3, yang menderita akibat penyakit yang belum diketahui selain buah pinggang kiri yang rosak dan kerap diserang sawan di FB miliknya semata-mata untuk berkongsi masalah.

Ini kerana, anaknya yang sakit sejak berusia enam bulan menyebabkan dia dan suami, Muhammad Jefri Marzuki, 33, mempunyai masalah kewangan untuk menampung kos ulang alik membawa anaknya ke hospital.

Menurut Nurul Ain, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Alor Setar diberhentikan kerja disebabkan kerap bercuti kerana menguruskan anak kedua mereka itu.



“Saya terkejut apabila mengetahui ada pihak menggunakan gambar anak saya dengan menyertakan akaun bank pihak lain pada Disember lalu.

“Sampai hati mereka melakukan perkara itu sedangkan saya dan suami kekurangan wang untuk menampung kos rawatan serta perjalanan anak kami ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pida 8, Tandop, Matang Paku, Air Hitam, di sini, semalam.

Menurut Nurul Ain, anaknya dilahirkan normal dengan berat empat kilogram (kg) itu turut mengalami masalah mata, pendengaran, kaki serta sukar membuang air besar, selain otaknya mengalami masalah.

Katanya, doktor belum mengesahkan penyakit sebenar anaknya itu dan sedang menunggu laporan perubatan lengkap.



“Muhammad Aqil juga perlu sentiasa dipakaikan kasut khas yang dibeli melalui pengedar sah seperti yang disyorkan oleh doktor bagi menguatkan kakinya selain sarung tangan untuk mengelak dia menarik tiub di pipinya,” katanya.

Nurul Ain berkata, sebelum ini, Aqil memang minum susu formula khas sehingga berat badannya bertambah, tetapi sejak suami tidak bekerja, mereka terpaksa memberi dia minum susu tepung biasa menyebabkan berat badannya susut.

Katanya, wang bantuan bulanan RM250 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak cukup untuk menampung segala kos rawatan anaknya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 017-5918441 atau 017-5479446.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker