Diesel RM15.1 juta dirampas, sindiket seludup tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Diesel RM15.1 juta dirampas, sindiket seludup tumpas

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Klang, Selangor dan merampas 1,022,860 liter diesel dianggarkan lebih RM15.1 juta, Selasa lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata pihaknya turut menahan 12 lelaki termasuk dua tempatan dalam serbuan itu.

Menurutnya, polis merampas 1,022,860 liter diesel bersubsidi, 18 lori tangki, 16 tangki sid mengandungi minyak diesel, 14 pam minyak dan dua buku stok keluar masuk dengan nilai rampasan dianggarkan RM15.1 juta.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Bagi tempoh 1 hingga 10 Januari, WCB/PSK melancarkan 13 serbuan dengan nilai rampasan bernilai RM39.2 juta dan 40 tangkapan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Hazani berkata polis komited bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memerangi penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi untuk memastikan hasil negara sentiasa dilindungi daripada ketirisan.

“Kerjasama daripada orang ramai dalam penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker