Rangkuman: Negara di Eropah terus catat peningkatan kes COVID-19

BRUSSELS, 9 Okt  — Eropah kini sedang berjuang membendung lonjakan kes baharu COVID-19, menyaksikan kebanyakan negara mencatatkan rekod kes harian tertinggi, lapor agensi berita Xinhua.

Sebanyak 96,996 kes baharu dicatatkan di Eropah dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlahnya sebanyak 6,558,747 dengan 243,767 kematian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah pada Khamis berkata sepuluh negara berada dalam “senarai merah”, bermaksud 120 daripada 100,000 penduduk di negara berkenaan dijangkiti COVID-19 dalam tempoh dua minggu lalu.

Kes di Jerman melonjak sehingga 4,058 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan 310,144. Ini kali pertama Jerman mencatatkan kes harian melebihi 4,000 sejak awal April.



Di Perancis seramai 18,129 orang disahkan positif, hari kedua berturut-turut jumlah kes harian melebihi 18,000.

Kes jangkitan di Britain pula mencatatkan tahap tertinggi dengan lebih 17,000 kes baharu dilaporkan pada Khamis.

Republik Czech melaporkan 5,335 kes baharu pada Rabu, tertinggi sejak wabak itu bermula. Jumlah kenaikan itu mengatasi rekod sebelum ini iaitu 4,457 yang dilaporkan pada hari sebelumnya.

Poland melaporkan 4,280 kes pada Khamis serta 76 kematian baharu.



Di Austria 1,209 orang lagi diuji positif, jumlah tertinggi sejak pandemik mula menular.

Sementara itu, Croatia, Slovenia dan Latvia turut melaporkan lonjakan dalam kes harian.

Ibu negara Jerman pada Selasa mengenakan perintah berkurung terhadap sektor perniagaan buat pertama kali dalam tempoh 70 tahun. Bermula Sabtu, restoran, bar, kedai dan perniagaan lain mesti ditutup antara 11 malam sehingga 6 pagi waktu tempatan.

Menteri Kesihatan Perancis Olivier Veran pada Khamis mengumumkan empat lagi bandar di negara ini iaitu Lille, Grenoble, Lyon dan Saint-Etienne, dikategorikan zon berbahaya dan sekatan lebih ketat dilaksanakan bermula Sabtu pagi. Bandar Marseille dan Guadeloupe sudah mencapai tahap maksimum sejak 28 September manakala Paris bermula awal minggu ini.

Setiausaha Komuniti Britain, Robert Jenrick pada Khamis berkata kerajaan “sedang mempertimbangkan langkah yang perlu diambil.” Langkah-langkah pencegahan baharu akan diumumkan dalam beberapa hari lagi, katanya sambil menambah pub dan restoran di kawasan paling teruk terjejas mungkin akan ditutup.

Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki pada Khamis berkata pemakaian pelitup muka diwajibkan di semua tempat awam dan bangunan komersial di seluruh negara mulai Sabtu.

Republik Czech pada Khamis mengenakan sekatan selama 14 hari, negara itu juga berada di bawah perintah darurat untuk 30 hari lagi, bermula Isnin.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker