Perhimpunan Agung UMNO 2024 dari 21 hingga 24 Ogos

Oleh – Syeikh Baran


Perhimpunan Agung UMNO 2024 dari 21 hingga 24 Ogos
Ahmad Zahid (tengah) diiringi oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, WTCKL, malam ini. Foto AMIR KHALID

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2024 dari 21 hingga 24 Ogos depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketetapan tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat berkenaan yang berlangsung Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sebentar tadi.

“Bagi Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan pula, akan diadakan pada 22 April hingga 2 Jun depan.

“Sementara itu bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian, akan berlangsung pada 21 Jun hingga 29 Julai 2024,” katanya ketika sidang media, di sini, malam ini.

Dalam perkembangan lain katanya, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu, turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia.

Ia berikutan tindakan yang konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin hingga membawa kepada keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Ia berpandukan kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang memerintahkan Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan,” ujarnya.

Selain itu, beliau memaklumkan UMNO melalui Majlis Ekonomi dan Kewangan UMNO, akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3 Februari 2024.

“Ia akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi) dan bertempat di Dewan Merdeka, WTCKL.

“Resolusi Kolokium ini akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29 Februari, 1 dan 2 Mac 2024 kelak,” jelasnya.

Menerusi mesyuarat sama katanya, turut dibincangkan mengenai Memorandum Tuntutan Rakan-Rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Penghantaran Barangan dan Makanan (p-hailing) Grabfood yang diserahkan, sebelum mesyuarat dimulakan.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sekali gus memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi gig di Malaysia terpelihara,” tambahnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker