FAM komited atasi masalah pemain bola sepak negara

fbdada4bd59fbe0e335fba57827eca0f5fabc6abe9df9

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Isu jadual bola sepak yang tidak menentu dan masalah tunggakan gaji adalah antara perkara dibincangkan dalam perjumpaan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu dan MFL, selaku pentadbir Liga Malaysia, komited dalam mengukuhkan kerjasama dengan PFAM bagi mengatasi beberapa masalah yang membelenggu arena bola sepak di negara ini, terutama melibatkan pemain tempatan.

“Lantaran itu, kerjasama penting untuk kita menambah baik gerak kerja kedua-dua organisasi demi memelihara kepentingan pemain serta memperkasakan mutu bola sepak negara.

“Kami juga berbincang dan memberi cadangan untuk mengukuhkan cara serta pemahaman pengurusan penswastaan kelab kerana ia penting untuk pembangunan pemain serta bidang bola sepak secara keseluruhan,” katanya.



Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM selepas perjumpaan tersebut yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya,

Dalam pada itu, Hamidin turut menekankan kepentingan pengurusan pasukan dan pemain untuk memberi sokongan antara satu sama lain dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

“Dalam situasi ini, pemain khususnya perlu faham terutama membabitkan isu soal kontrak dan gaji.

“Secara keseluruhan, pasukan dan pemain pasti ada luahan dan tanggapan masing-masing, maka kerjasama dan persefahaman antara mereka penting demi menyelesaikan sesuatu kes dan kelangsungan industri bola sepak negara,” katanya.



Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan.

PFAM diwakili Presidennya, Safee Sali, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail bersama ahli exconya yang juga bekas pemain kebangsaan Razman Roslan, Shahrom Kalam dan S. Subramaniam.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker